ARTIKEL

DR AZIZUL (duduk tiga kiri), Lau Lee Ming (duduk tengah) bergambar kenangan seusai sidang media FBS Peringkat Sarawak di sini, hari ini.

FBS pupuk dan tingkat rasa kebersamaan pelbagai kaum

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SIBU: Inisiatif untuk melaksanakan pelbagai kegiatan bahasa dan sastera yang melibatkan pelajar bukan Melayu di Sarawak sejajar kerangka perpaduan baharu yang telah dibangunkan Kementerian Perpaduan Negara iaitu Perpaduan dalam Kepelbagaian.

Seterusnya, merealisasikan aspirasi Malaysia MADANI, kata Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, Dr Azizul Ismail.

Menurutnya, Festival Bahasa dan Sastera (FBS) Peringkat Sarawak merupakan program tahunan DBP Cawangan Sarawak dalam memupuk dan meningkatkan rasa kebersamaan serta semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Sarawak khususnya generasi muda.

“Festival ini melibatkan penyertaan pelajar bukan Melayu dari Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) Sarawak dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Zon Kuching dan Samarahan.

“Kita percaya dengan pelaksanaan festival ini, dapat melahirkan pelajar yang memiliki rasa kebersamaan dan bersatu padu, nilai kepimpinan, identiti kebangsaan, kemahiran bahasa, kemahiran berfikir serta berpengetahuan tinggi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Festival bermula pada 7 sehingga 9 Julai ini berlangsung di Balai Budaya DBP Cawangan Sarawak diisi dengan pelbagai aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan, dilaksanakan untuk menanam semangat kecintaan terhadap bahasa kebangsaan.

“Sekali gus mewujudkan serta menyediakan suasana penggunaan bahasa kebangsaan yang indah dan santai dalam kalangan pelajar bukan Melayu dari peringkat awal.

“Oleh demikian, kita menggariskan beberapa objektif untuk meningkatkan kefahaman dan rasa cinta akan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar bukan Melayu di SMPC dan SJKC.

“Mewujudkan dan menyediakan wadah serta suasana penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar SMPC dan SJKC supaya dapat melahirkan model penggunaan bahasa Melayu baku yang sempurna daripada segi tatabahasa, sebutan dan gaya.

“Melahirkan pelajar bukan Melayu yang berkebolehan berhujah dan mengungkapkan buah fikiran dalam bahasa Melayu dengan baik dan berkesan sekali gus akan mempertingkatkan keyakinan diri, semangat kerja berpasukan dan kreativiti dalam kalangan pelajar.

“Mewujudkan rasa kebersamaan dan bangga akan bahasa dan sastera kebangsaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.

“Selain meningkatkan imej dan sinergi DBP melalui kerjasama dengan pelbagai pihak, terutamanya agensi kerajaan dan swasta, serta pertubuhan bukan kerajaan,” ujarnya.

Sepanjang tiga hari program, diadakan Pertandingan Forum Pelajar, Pertandingan Klip Video Pendek Forum Pelajar, Pertandingan Penglipur Lara Moden dan Pertandingan Deklamasi Sajak untuk kategori SMPC.

Sementara Pertandingan Bercerita dan Pertandingan Pidato untuk kategori SJKC.

Terdahulu, Dr Azizul mengadakan kunjungan hormat terhadap Pengerusi Lembaga Bersekutu Sekolah Menengah Cina Swasta Sarawak, Temenggong Datuk Lau Lee Ming, yang juga merupakan rakan strategik DBP dalam penganjuran FBS Peringkat Sarawak 2025.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU