ARTIKEL

KENANGAN... Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah (tengah) merakam kenangan bersama-sama Datuk Hii Chang Kee (dua dari kanan) pada Forum Acara Perniagaan Sarawak 2025, di sini, hari ini.

FC Barcelona Antara Pihak Luar Minat Bekerjasama dengan Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila beberapa pihak luar negara menyatakan minat untuk menjalin kerjasama secara langsung dengan negeri ini, kata Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan itu berkata, beliau baru-baru ini mengadakan lawatan rasmi selama 19 hari ke beberapa bandar utama di Eropah, termasuk Barcelona dan London sempena Bulan Pelancongan Sedunia.

“Mereka (Eropah) memandang tinggi Sarawak serta menunjukkan minat untuk menjalin kerjasama secara langsung dengan negeri ini.

“Malah, pengurusan tertinggi FC Barcelona juga membuka pintu untuk berkolaborasi dengan negeri ini, termasuk kemungkinan menandatangani memorandum persefahaman (MoU).

“Langkah itu bukan sahaja berkaitan bola sepak, tetapi bertujuan membina ekosistem sukan yang lebih kukuh di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa Forum Acara Perniagaan Sarawak 2025, di sini, hari ini.

Sehubungan itu katanya, lawatan tersebut memberi peluang untuk mempamerkan kepentingan Sarawak dalam sektor perniagaan dan pembangunan sukan.

Dalam perkembangan lain, Abdul Karim berkata, semasa pembukaan Sukan SEA di Bangkok, beliau berkesempatan bertemu seorang ahli kongres Filipina dan Presiden Majlis Olimpik Filipina, Abraham Tolentino.

“Abraham kagum dengan kepesatan pembangunan Sarawak dan pengurusan sumber negeri yang meninggalkan kesan positif kepada imej Sarawak di mata pemimpin serantau dan antarabangsa.

“Apabila kita mendapat pengiktirafan sebegini daripada pihak luar, ia memberi kebanggaan kepada seluruh rakyat Sarawak dan menegaskan bahawa usaha negeri dalam membangunkan sektor perniagaan, sukan dan pelancongan berbaloi,” jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datuk Hii Chang Kee mendedahkan bahawa Abdul Karim menjadi menteri pertama dari Asia membentangkan topik kerjasama kerajaan pada sidang Persatuan Konvensyen dan Kongres Antarabangsa (ICCA) ke-64 di Porto, Portugal.

“Ini adalah bukti pengiktirafan dunia terhadap kepimpinan Sarawak,” ujarnya.

Dalam pada itu katanya, Sarawak juga telah menerima 31 anugerah antarabangsa, termasuk ICCA Award of Appreciation dan The Iceberg Excellence Award.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU