Festival Filem WatchMoviesNot di Sibu

KUCHING: Festival Filem WatchMoviesNot (WMNFF) 2021 bakal menemui penonton bermula 21 hingga 24 Januari ini dengan tema Missing atau Hilang di King’s Trioplex, Sibu.
Kurator festival Chris Ling berkata, tema tersebut dipilih bagi menghimpunkan peminat filem dan mengangkatkan rasa cinta terhadap filem di bandar yang kekurangan budaya filem seperti Sibu.
“Ia juga mengambil kira penutupan pawagam di seluruh negara sejak beberapa bulan lalu.
“Melalui program ini, kita berharap ia dapat menyediakan pengalaman menyeronokkan dan mengembalikan nostalgia perfileman khususnya penonton di Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Penganjuran festival filem tersebut turut mengamalkan amalan penjarakan fizikal dan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan.
Sementara itu, penasihat festival merangkap pensyarah perfileman dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) yang dikenali sebagai Yow berkata, bagi mendekatkan penonton dengan pembuat filem, mereka akan melaksanakan soal jawab dalam talian untuk membolehkan interaksi dengan penonton di Sibu namun masih mengamalkan SOP sedia ada.
Kerjasama antara WMNFF dengan Unimas ialah suatu perkara baharu dan dimulakan oleh Chris dan Yow sejak dari awal 2020.
Menurut Yow, budaya perfileman bukan suatu perkara baharu di Sarawak.
“Malah sejak era Brooke, Sarawak mempunyai pawagam di bandar besar seperti Kuching dan Sibu dan kini diubah sebagai bangunan kedai atau hanya menjadi bangunan terbiar.
“Bagaimanapun, budaya menonton filem di Sarawak menunjukkan trend yang kurang memberangsangkan berbanding dengan negeri lain seperti di Sabah, Pulau Pinang dan Selangor,” katanya sambil memetik Festival Filem Eropah (Kesatuan) yang menarik diri susulan jumlah penonton yang tidak menggalakkan khususnya kepada filem bukan arus perdana di Sarawak.
Sehubungan itu, WMNFF menyasarkan memperluaskan jangkauan mereka sambil menyampaikan impak daripada acara budaya di Sarawak.
Festival filem tahun ini akan terus mempersembahkan filem yang dihasilkan pembuat filem Sarawak dalam segmen Sarawak Short sementara menambah segmen baharu iaitu Director-In-Focus dan akan menayangkan beberapa filem klasik yang dihasilkan Allahyarhamah Yasmin Ahmad.
WatchMoviesNot ditubuhkan oleh sekumpulan pelajar dari Sarawak dan diinspirasikan oleh budaya perfileman dan krisis budaya filem dilihat semakin dimonopolikan oleh perfileman komersial di pasaran tempatan.
Maka mereka bersama dalam merancang festival filem ini, menulis ulasan mengenai perfileman dan menerbitkan penerbitan bagi menyampaikan gambaran filem yang lebih komprehensif kepada penonton tempatan.
WMNFF 2021 merupakan festival filem kedua yang dirancang oleh kumpulan itu, festival pertama diadakan pada Januari 2020 dan penganjuran kali pertama festival itu mendapat sambutan yang amat memberangsangkan sehingga dua pertiga daripada tiket habis dijual.
Pada tahun ini, pembelian tiket terawal boleh didapati melalui jualan dalam talian dengan harga RM10 untuk satu tayangan bermula dari 1 hingg 14 Januari ini. Mereka yang ingin
membuat pembelian dalam talian boleh melayari www. eventbrite.com dengan carian ‘WatchMoviesNot Film Festival’.
Selepas tempoh itu, jualan langsung tiket boleh didapati di King’s Trioplex dengan harga RM15 untuk satu tayangan atau segmen sepanjang festival berlangsung dari 21 hingga 24 Januari ini.

Suara Sarawak