BINTULU: Festival Layang-layang Antarabangsa Bintulu (BIKF) bukan sahaja menjadi medan pameran kemahiran penerbangan layang-layang.
Ia turut memainkan peranan penting sebagai alat pengukuh hubungan sosial.
Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Datuk Haidar Khan Asghar Khan, menyifatkan BIKF sebagai momen berharga untuk mengeratkan hubungan sosial antara pelbagai lapisan masyarakat, daripada keluarga tempatan hingga kepada pelayang antarabangsa.

“Bagi saya, BIKF lebih daripada sekadar acara penerbangan layang-layang.
“Ia adalah peluang untuk kita di Bintulu, BDA, dan komuniti tempatan untuk berinteraksi dan menjalin hubungan dengan pelayang dari seluruh dunia.
“Ini bukan sahaja tentang ikatan antara bapa dan anak, tetapi ikatan yang lebih luas,” katanya.
“Dalam usaha memperkukuh hubungan ini, pihak penganjur baru-baru ini membawa pelayang antarabangsa ke Kuala Nyalau, sebuah perkampungan Kedayan yang terletak sekitar sejam perjalanan dari bandar Bintulu.
“Tujuan kami membawa pelayang antarabangsa ke Kuala Nyalau adalah untuk mendedahkan mereka kepada kehidupan dan budaya masyarakat Kedayan di luar bandar.
“Pada masa yang sama, kami ingin memberi peluang kepada penduduk luar bandar untuk merasai sedikit kehangatan BIKF,” ujarnya lagi.
“Kami mahu pelayang antarabangsa melihat sendiri bagaimana kehidupan masyarakat Kedayan di kawasan luar bandar.
“Pada masa yang sama, kami ingin membawa sedikit suasana BIKF kepada penduduk luar bandar ini supaya mereka juga dapat merasai keterujaan festival tersebut,” kata Haidar.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Makan Malam dan Penyampaian Hadiah BIKF 2024 di salah sebuah hotel terkenal di sini, malam tadi.
Beliau yakin festival ini akan terus memperkukuh hubungan sosial antara pelbagai budaya, sambil mempromosikan Bintulu sebagai destinasi budaya yang unik pada peringkat antarabangsa.
BIKF bukan sahaja menjadi medan pertunjukan layang-layang yang menakjubkan, tetapi juga sebagai jambatan yang menghubungkan komuniti tempatan dengan masyarakat global, ujarnya lagi.

