BINTULU: Festival Layang-layang Antarabangsa Borneo (BIKF) 2024 mencatat sejarah tersendiri dengan penyertaan pelayang dari 28 buah negara, menjadikannya salah satu acara terbesar setakat ini.
Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Datuk Haidar Khan Asghar Khan, berkata BIKF bukan sekadar acara rekreasi tetapi satu platform untuk merapatkan hubungan antara komuniti tempatan dan pelayang antarabangsa.
Menurut beliau, tiga objektif utama yang ingin dicapai pada penganjuran BIKF tahun ini iaitu memperluas keterlibatan inklusif, memacu ekonomi tempatan, dan memperkenalkan budaya tempatan kepada peserta.

“Salah satu sasaran utama festival ini adalah untuk memastikan keterlibatan inklusif dari masyarakat tempatan.
“Oleh itu, kita bawa peserta antarabangsa ke Kampung Kuala Nyalau supaya penduduk kampung berpeluang untuk turut serta dalam acara global ini sekali gus membantu memperkasa komuniti kampung dengan pengalaman yang berharga dalam acara peringkat antarabangsa,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam lawatan peserta BIKF 2024 ke Kampung Kuala Nyalau, di sini, pada Khamis.
Dari aspek ekonomi pula, BIKF turut memberi impak positif dengan penganjuran gerai-gerai jualan sepanjang festival sekaligus memberi peluang kepada peniaga kecil tempatan meningkatkan pendapatan mereka serta merangsang ekonomi setempat.
BIKF turut berperanan sebagai jambatan budaya antara pelayang antarabangsa dan masyarakat tempatan kerana ia dilihat sebagai medium terbaik untuk memperkenalkan adat dan tradisi Borneo kepada dunia.

“Kami ingin peserta antarabangsa lebih mengenali adat resam dan budaya kita di sini. Hubungan yang terjalin ini akan memupuk persefahaman yang lebih mendalam antara kedua-dua pihak,” kata beliau.
Acara empat hari, yang bermula 26 hingga 29 September dijangka menjadi yang paling meriah dalam sejarah penganjurannya.
Sambutan menggalakkan dari masyarakat tempatan serta kedatangan pengunjung dari luar Bintulu menambah lagi keterujaan pesta BIKF 2024 kali ini.


