Festival Layang-layang Antarabangsa Kabong 2020 ditangguh

KABONG: Akur saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Festival Layang-layang Antarabangsa Kabong (KIKF) 2020 ditangguhkan demi kebaikan bersama, kata Pengerusi KIKF Mohd. Chee Kadir.

Pengumuman Adun Kabong itu menjawab teka-teki tentang penganjuran KIKF 2020 yang sepatutnya diadakan pada 5 sehingga 10 Mac depan.

Katanya, ia berikutan penularan Koronavirus 2019-nCoV yang menggemparkan seluruh dunia hari ini.

“Walaupun kita telah membuat persiapan yang rapi, namun oleh kerana penularan virus korona sehingga WHO mengisytiharkan darurat, maka kita akur dengan keputusan mereka,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Jelasnya, ekoran daripada itu juga Festival Layang-layang Antarabangsa di Satun, Thailand turut ditangguhkan.

“Kita menerima makluman tentang penangguhan itu semalam melalui media. Begitu juga, Festival Layang-layang Antarabangsa di Pasir Gudang yang terpaksa ditangguhkan.

“Justeru itu kita tiada pilihan lain dan berasa sedih dan berduka cita,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun mengharapkan penganjuran KIKF dapat diteruskan semula selepas wabak Koronavirus 2019-nCoV pulih.

KIKF menjadi acara tahunan di Pantai Tanjung Kembang Kabong dengan penglibatan lebih 30 negara.

Suara Sarawak