KUCHING: Pakej umrah menjadi tarikan utama bagi sesi cabutan bertuah bagi Festival Maal Hijrah 1448H/2026M (FMH 1448H/2026M) yang bakal berlangsung pada 12 hingga 21 Jun ini.
Program anjuran Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) itu turut menawarkan sebuah motosikal sebagai hadiah utama pada sesi cabutan bertuah diikuti hadiah-hadiah yang lain.
Sementara itu, cabutan bertuah bagi hadiah utama akan diumumkan semasa acara kemuncak yang berlangsung pada 21 Jun 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif LAKMNS Datuk Abdul Hadi Abdul Kadir berkata, Dewan Serba Guna Taman Sukma dipilih sebagai lokasi penganjuran program pada kali ini.
“Ini bagi memberi ruang kepada kerja-kerja naik taraf yang sedang dilakukan di Masjid Jamek Negeri Sarawak, selain mengutamakan keselamatan orang ramai yang hadir kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Pegawai Eksekutif Suara Sarawak dan Sarawak Tribune (SSST) Datuk Dr Jeniri Amir di pejabat Suara Sarawak, di sini, hari ini.

Sementara, festival ini juga menjadi platform untuk mempromosikan gaya hidup sihat berlandaskan nilai agama melalui program-program yang diadakan.
Antara aspek yang diberi tumpuan termasuk kerohanian, kekeluargaan, sukan dan lain-lain serta menjadi platform perpaduan melalui penyertaan daripada masyarakat berbilang kaum dan agama.
Pelbagai pengisian program menarik bakal diadakan termasuk Malam Cinta Rasul, kayuhan santai, pameran pendidikan dan pelbagai jenis pertandingan seperti badminton, tenpin boling, e-sukan dan lain-lain.
Jualan Rahmah juga akan diadakan pada 20 dan 21 Jun 2026 dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Penganjuran festival kali kelima ini merupakan salah satu inisiatif LAKMNS untuk menyemarakkan sambutan tahun baharu hijrah.

