ARTIKEL

MENARIK… Antara aktiviti yang diadakan sempena Festival Menuai dan Cerita Rakyat Sarawak (SHFF) yang berlangsung di Kampung Budaya Sarawak pada 23 dan 24 Mei ini.

Festival Menuai dan Cerita Rakyat Sarawak perkukuh kedudukan pelancongan budaya

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Festival Menuai dan Cerita Rakyat Sarawak (SHFF) kembali menemui pengunjung di Kampung Budaya Sarawak pada 23 dan 24 Mei ini dalam usaha memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai destinasi utama pelancongan berasaskan budaya, warisan dan acara.

Pihak penganjur SHFF dalam satu kenyataan berkata, penganjuran festival ini menjadi platform inklusif yang menghimpunkan penggiat kraf tempatan, demonstrator masakan etnik dan golongan belia bagi mengetengahkan bakat serta kreativiti melalui pelbagai aktiviti interaktif berteraskan budaya.

“Pendekatan ini memberi ruang kepada penyertaan komuniti setempat dan menggalakkan penglibatan generasi muda dalam usaha memelihara serta mengembangkan warisan budaya Sarawak secara lebih kreatif dan berterusan.

“Justeru, festival ini berperanan penting dalam memperkukuh perpaduan, disiplin dan jati diri masyarakat selain menyokong pembangunan belia yang progresif dalam sektor pelancongan, budaya dan industri kreatif negeri ini,” katanya.

Mengangkat tema “Meraikan Warisan, Menginspirasikan Masa Depan”, kenyataan itu memberitahu bahawa penganjuran tahun ini memberi fokus kepada usaha menghargai warisan budaya bagi menggalakkan generasi baharu terus memelihara serta memperkasa tradisi melalui pendekatan yang lebih segar dan inovatif.

“Bahkan, penganjuran festival ini juga merupakan sebahagian usaha berterusan untuk menjadikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan pilihan melalui program yang tersusun, berkualiti tinggi serta mesra pengunjung,” ujarnya.

Dalam pada itu, pihak SHFF menetapkan kadar masuk pada RM20 bagi dewasa dan RM10 bagi kanak-kanak untuk sesi siang.

“Sementara itu, kadar masuk bagi pertunjukan malam dikenakan sebanyak RM50 bagi dewasa dan RM30 bagi kanak-kanak untuk memastikan akses lebih meluas kepada pengunjung pelbagai lapisan masyarakat.

“Orang ramai boleh menempah tiket melalui laman sesawang rasmi www.sarawakharvest.com.my. Kemudahan pengangkutan turut disediakan bagi memudahkan pergerakan pengunjung serta mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan festival,” tambah kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, perkhidmatan bas ulang-alik disediakan dari kawasan parkir Sports Village bermula jam 9 pagi.

“Tambang dikenakan sebanyak RM5 bagi dewasa dan RM3 bagi kanak-kanak untuk sehala, selain perkhidmatan khas dari Damai Golf & Country Club pada kadar RM5 seorang untuk perjalanan pergi dan balik,” ujarnya.

Selain itu, pelbagai aktiviti kebudayaan diketengahkan termasuk persembahan tarian dan muzik tradisional, pameran makanan etnik serta permainan tradisional yang memberi peluang kepada pengunjung untuk turut serta secara interaktif.

“Antara tarikan utama festival tahun ini ialah pementasan drama musikal “Belawan Burieng ~ The Hercules of the Keliman River” yang mengangkat legenda pahlawan kaum Kayan, Belawan Burieng yang sarat dengan unsur mitos, keberanian dan nilai kemanusiaan,” jelasnya.

Pementasan tersebut menampilkan elemen konflik, keberanian dan perdamaian yang membawa mesej perpaduan serta pengampunan, di samping mengetengahkan bakat tempatan termasuk Azam Pit, Lorna Walter serta penari Kampung Budaya Sarawak.

“Selain itu, persembahan Culturalvaganza turut menjadi antara pengisian utama festival dengan menampilkan kepelbagaian tarian, muzik dan penceritaan pelbagai etnik Sarawak yang menggambarkan kekayaan budaya negeri ini.

“Festival ini turut menyaksikan penyertaan pelbagai persatuan budaya termasuk Persatuan Dayak Iban Sarawak (ASADIA), komuniti Ring Ladies of Borneo dari Kampung Semban dan Persatuan Tagal (Okolod) Sarawak yang masing-masing membawa keunikan warisan tersendiri ke pentas festival,” ujarnya.

Lebih menarik, festival ini turut dimeriahkan dengan permainan tradisional serta reruai makanan dan minuman etnik yang memberi peluang kepada pengunjung menikmati pengalaman budaya secara menyeluruh.

“Justeru, festival ini bukan sekadar hiburan malah platform penting dalam memperkukuh perpaduan, memelihara warisan budaya dan mengangkat Sarawak sebagai destinasi pelancongan budaya utama di rantau ini,” katanya.

Untuk makluman, SHFF 2026 disokong oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Tourism Malaysia serta Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU