BINTULU: Sambutan Hari Pekerja Sedunia bersama Festival Muzik Air Rain Rave yang akan berlangsung di Bukit Bintang pada 30 April hingga 2 Mei ini merupakan antara acara pelancongan berimpak tinggi, selaras dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, menegaskan bahawa penganjuran acara tersebut berada di bawah pemantauan rapi serta perancangan teratur bagi memastikan kelancaran pelaksanaan, keselamatan pengunjung dan impak ekonomi kepada negara.
Beliau berkata, program itu bukan sahaja bertujuan meraikan Hari Pekerja, malah menjadi platform untuk memperkukuh sektor pelancongan bandar serta merancakkan aktiviti ekonomi tempatan, khususnya di sekitar Kuala Lumpur.
“Acara ini dijangka memberi limpahan ekonomi kepada peniaga kecil dan sederhana serta membuka peluang kepada industri kreatif dan perkhidmatan pelancongan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Menurut beliau, pelaksanaan program berkenaan juga dijangka meningkatkan kemasukan pelancong asing ke ibu negara, sekali gus menyokong sasaran VM2026 dalam menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini.
Dalam pada itu, Tiong turut mengecam penyebaran maklumat tidak tepat di media sosial yang didakwa cuba memutarbelitkan tujuan penganjuran acara tersebut sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang awam.
Tegas beliau, masyarakat perlu mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi dan tidak mudah terpengaruh dengan hantaran berunsur provokasi atau fitnah yang boleh menjejaskan keharmonian sosial.
Beliau turut menjelaskan bahawa acara berkenaan tidak menetapkan sebarang keperluan berpakaian seperti yang didakwa dalam sesetengah hantaran tular, dan penyertaan secara sukarela.

