ARTIKEL

MERIAH… Penyanyi terkenal Indonesia, Cakra Khan menghiburkan lebih 50,000 pengunjung pada malam penutupan Festival Muzik Kuching (KMF) 2026 di Padang Merdeka, malam tadi. FOTO: GHAZALI BUJANG

Festival Muzik Kuching 2026 Tarik Ribuan Pengunjung

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Persembahan bertenaga penyanyi terkenal Indonesia, Cakra Khan berjaya menutup tirai Festival Muzik Kuching (KMF) 2026 anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara dengan penuh gemilang di Padang Merdeka, malam tadi.

Lebih 50,000 pengunjung dari seluruh Sarawak dan juga dari Indonesia membanjiri Padang Merdeka untuk menyaksikan persembahan istimewa penyanyi berkenaan secara langsung.

Turut hadir memeriahkan malam penutupan festival ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah yang tiba selepas menghadiri perlawanan Liga Super musim 2025/2026 di Stadium Negeri Sarawak, malam tadi.

Suasana padang bertukar gamat apabila Cakra Khan muncul sekitar 11 malam dengan sorakan dan tepukan gemuruh daripada peminat yang tidak sabar menantikan kemunculannya.

MENARIK… Barisan artis tempatan bersama-sama Cakra Khan menyampaikan lagu ikonik Sarawak ‘Berkikis Bulu Betis’ sebagai penutup tirai Festival Muzik Kuching 2026 di Padang Merdeka, malam tadi. FOTO: GHAZALI BUJANG

Lantunan lagu popular seperti Kekasih Bayangan, Kepada Hati, Harus Terpisah dan Hal Baik berjaya memukau ribuan penonton yang turut sama menyanyikan setiap bait lagu bersama-sama.

Persembahan penuh emosi dan penghayatan itu nyata memberikan pengalaman istimewa kepada peminat, sekali gus menjadikan malam penutupan festival antara yang paling diingati.

Tidak hanya tertumpu kepada Cakra Khan, pentas KMF 2026 turut diserikan dengan persembahan artis tempatan Sarawak yang tampil memukau dan bertenaga sepanjang malam.

Konsert bermula seawal 8.30 malam dengan persembahan pembukaan oleh Mal Imran sebelum diteruskan oleh Carrie Geres dan Chieng Ng.

Sebelum tirai Festival Muzik Kuching 2026 dilabuhkan sepenuhnya, lagu ikonik Sarawak Berkikis Bulu Betis dimainkan dengan gandingan barisan artis termasuk Ramles Walter dan Firdaus Materang bersama-sama artis lain yang membuat persembahan pada malam tersebut.

Laungan dan nyanyian bergema di seluruh Padang Merdeka apabila semua yang hadir bersama-sama menyanyikan ‘lagu wajib’ rakyat Sarawak itu yang dilihat mampu menyatukan masyarakat berbilang kaum menerusi muzik.

Untuk rekod, Festival Muzik Kuching 2026 berlangsung selama dua hari iaitu 16 dan 17 Mei di Padang Merdeka bermula 8.30 malam hingga 12 tengah malam, menghimpunkan barisan artis tempatan dan antarabangsa.

DUET… Cakra Khan berduet bersama-sama artis tempatan Sarawak dalam persembahan penuh bertenaga pada Festival Muzik Kuching 2026 di Padang Merdeka, malam tadi. FOTO: GHAZALI BUJANG

BERITA LAIN

BERITA TERBARU