KUCHING: “Kami bukan siapa-siapa tanpa anda semua.” Luahan tulus daripada pelakon utama Blood Brothers: Bara Naga, Sharnaaz Ahmad, bergema di Pusat Beli-Belah Vivacity, Kuching, hari ini, ketika siri Jelajah Bara Naga di Sarawak disambut meriah oleh peminat.
Sharnaaz, yang memegang watak Ghaz, menekankan bahawa kejayaan filem itu adalah berkat sokongan padu peminat setia filem tempatan.
“Ini kali pertama saya menjejakkan kaki di bumi Sarawak, dan orang Sarawak sangat ‘sempoi’ dan ‘sporting’,” ujarnya.
Turut hadir memeriahkan acara ialah Wan Hanafi Su (Dato’ Zul), Andy Teh (Pablo), Irfan Zaini (Malik), Shah Reza Mohd Shah (Bos Sam), dan Syazwan Zulkifly (Jaki).
Irfan Zaini dan Andy Teh mencuri tumpuan menerusi lakonan berkesan mereka sebagai Malik dan Pablo.
Andy, bekas atlet seni mempertahankan diri, membawakan watak penuh aksi dengan dedikasi tinggi.
Irfan pula berjaya menghidupkan watak Malik sebagai sahabat setia yang sanggup berkorban nyawa.
Syazwan Zulkifly pula menyerlah sebagai Jaki, seorang abang yang sentiasa menceriakan suasana.
Blood Brothers: Bara Naga, arahan bersama Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra, mengisahkan tentang persaudaraan sekumpulan lelaki yang berkhidmat dalam organisasi keselamatan elit.
Filem ini telah mencatat kutipan RM70 juta selepas 25 hari tayangan, menjadikannya antara filem tempatan dengan kutipan tertinggi dalam sejarah perfileman Malaysia.
Ia juga berjaya mengekalkan kedudukan sebagai juara kutipan box office tempatan selama tiga minggu berturut-turut.
Pengarah bersama, Abhilash Chandra, turut mengesahkan bahawa sekuelnya, Blood Brothers: Perang Naga, kini dalam perancangan.
Jelajah Bara Naga di Sarawak berlangsung selama dua hari di empat lokasi berbeza: Pusat Beli-Belah Vivacity dan The Spring (hari ini), serta Pusat Beli-Belah Summer dan City One (esok).







