ARTIKEL

PHILLIP JABU... Presiden SFA.

FINAL PIALA MALAYSIA 2025/2026 Titipan doa dan harapan ahli gabungan FAS

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kejayaan Kuching City FC melangkah ke final Piala Malaysia 2025/2026 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), Sabtu ini, menjadi detik bersejarah buat bola sepak Sarawak.

Dalam suasana penuh debaran dan harapan, peminat pelbagai lapisan masyarakat mengimpikan The Cats mencipta kejayaan pada aksi final berkenaan.

PRESIDEN PBBS… Mohd. Azri Johari.

Ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) turut menitipkan doa dan harapan agar skuad kendalian Aidil Sharin Sahak mampu melakar sejarah tersendiri.

Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Serian (SFA), Phillip Jabu berkata, kejayaan Kuching City FC mara ke final merupakan pencapaian besar buat bola sepak Sarawak.

“Pertama sekali, tahniah kepada Kuching City FC kerana berjaya layak ke final Piala Malaysia 2025/2026.

“Ia satu sejarah buat bola sepak Sarawak dan kami berharap pasukan ini mampu mencipta kejutan,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.

Menurut beliau, walaupun JDT merupakan pasukan terbaik dengan kekuatan di semua posisi, peluang Kuching City FC untuk mencipta kejutan tetap terbuka.

Haji Khairulddin Qalam

“Saya yakin Aidil Sharin Sahak sudah merangka strategi terbaik dan pemain mampu menterjemahkannya dengan baik di atas padang,” tambahnya.

Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Samarahan (PBBS), Mohd Azri Johari turut menyuarakan keyakinan terhadap perjuangan Kuching City FC.

“Di atas kertas, JDT memang pilihan juara, namun aksi final mempunyai corak permainan berbeza.

“Kami berharap perjalanan pasukan sepanjang 90 minit perlawanan dipermudahkan dan Kuching City FC mampu melakar kemenangan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Sarikei, Kaunselor Haji Khairulddin Qalam Daud berkata, kejayaan Kuching City FC mara ke final membuktikan kesungguhan, kerjasama dan strategi tepat mampu menghasilkan kejayaan.

Menurutnya, peningkatan prestasi pasukan jelas terserlah sejak kehadiran Aidil Sharin Sahak pada penghujung 2023.

PRESIDEN BIFA… Haji Sophie Shariee

“Beliau berjaya mengubah Kuching City FC daripada pasukan biasa kepada finalis Piala Malaysia.

“Prestasi pasukan ketika menentang JDT sejak kebelakangan ini juga sangat membanggakan,” ujarnya.

Beliau berkata, walaupun JDT hadir sebagai gergasi bola sepak Asia dengan skuad mantap, Kuching City FC tetap mempunyai peluang untuk mencipta sejarah.

“Tekanan sebenarnya lebih dirasai JDT, manakala Kuching City FC akan turun sebagai pasukan yang pantang menyerah.

“Saya percaya peluang kedua-dua pasukan adalah 50-50,” katanya.

Beliau berharap Kuching City FC berjaya membawa pulang trofi Piala Malaysia ke Sarawak dan menyeru peminat bola sepak negeri memberi sokongan padu kepada pasukan itu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Bintulu (BIFA), Haji Sophie Shariee pula yakin Kuching City FC mampu melakukan kejutan.

“JDT memang pasukan mantap, tetapi aksi final sentiasa berbeza.

“Kami akan terus berdoa agar Kuching City FC berjaya melakar sejarah,” katanya.

Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Mukah (MUFA), Khairul Anuar Adeni menyifatkan final itu sebagai peluang terbaik buat Kuching City FC mencipta sejarah baharu.

“Perlawanan dijangka sengit, namun inilah peluang terbaik buat pemain Kuching City FC membuktikan kemampuan mereka,” katanya.

Menurut beliau, walaupun JDT merupakan pasukan gergasi bola sepak Malaysia, Kuching City FC tetap berupaya memberi saingan sengit pada aksi final nanti.

PRESIDEN MUFA… Khairul Anuar Adeni.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU