ARTIKEL

Hans ketika ditemui selepas Bengkel Persediaan Tenaga Pengajar ke Sesi Pitching 2026 dan Sesi Libat Urus Industri Kreatif di Negeri Sarawak di Hotel Hilton Kuching, hari ini.

FINAS rancang kerjasama dengan Sarawak perkasa industri kreatif

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) merancang menjalin kerjasama dengan Kerajaan Sarawak dalam usaha memperkasa industri kreatif negeri ini sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada anak Sarawak untuk mengembangkan bakat dan potensi dalam bidang berkenaan.

Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac berkata, bagi merealisasikan usaha tersebut, langkah pertama yang perlu dilakukan ialah menyediakan cadangan serta kertas kerja sebelum dibincangkan bersama lembaga pengarah di Kuala Lumpur.

Katanya, FINAS juga berhasrat mengadakan pertemuan dengan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi berkongsi idea dan meneroka bentuk kerjasama yang boleh dilaksanakan antara kedua-dua pihak.

“Salah satu perkara yang kami rasakan penting ialah mewujudkan inisiatif negeri dari sudut kewangan yang sepadan dengan inisiatif di peringkat Persekutuan seperti Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) yang kita ada sekarang,” katanya.

Hans dan pengarah serta pelakon, Datuk Afdlin Shauki merakam gambar kenangan bersama-sama wakil dan peserta.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Bengkel Persediaan Tenaga Pengajar ke Sesi Pitching 2026 dan Sesi Libat Urus Industri Kreatif di Negeri Sarawak di Hotel Hilton Kuching, hari ini.

Tambahnya, perkongsian ilmu turut memainkan peranan penting dalam memberi peluang kepada anak Sarawak membangunkan potensi dan bakat mereka dalam industri kreatif.

Katanya, langkah itu penting kerana pelaksanaan usaha berkenaan memerlukan penyediaan kertas kerja, perbincangan bersama Kerajaan Sarawak serta proses mendapatkan kelulusan berkaitan dan sebagainya. Justeru, satu pelan tindakan yang jelas perlu dirangka terlebih dahulu.

“Kami percaya FINAS mampu membantu merangka pelan tindakan tersebut dan berharap ia dapat dibentangkan dalam masa terdekat bagi memastikan usaha itu dapat direalisasikan,” ujarnya.

Mengulas kebimbangan sesetengah pembikin filem tempatan yang mendakwa tahap sokongan kepada penerbit filem dalam industri masih “cacat” atau tidak mencukupi, beliau menegaskan istilah tersebut tidak wajar digunakan kerana perkembangan dalam industri kreatif merupakan satu proses pembelajaran yang memerlukan masa dan sokongan berterusan.

“Sudah tentu seseorang pembikin filem akan bermula pada satu tahap tertentu dan dari semasa ke semasa dengan sokongan kerajaan serta FINAS, diharapkan mereka dapat meningkatkan kualiti kandungan dan memperbaiki diri sebagai pembikin filem.

“Itulah peranan FINAS. Saya tidak mahu mengatakan kami mendidik, tetapi kami membantu industri mencapai tahap yang mereka mahukan. Kami di sini bukan untuk mengajar, sebaliknya membimbing dan menyokong,” jelasnya.

Sementara itu, mengenai bengkel dan sesi libat urus tersebut, beliau memaklumkan FINAS bersama penggiat industri kreatif Sarawak mengadakan latihan menerusi taklimat berkaitan kaedah membuat pembentangan pitching selain sesi dialog awam bagi memberi peluang kepada peserta bertanyakan pelbagai perkara berkaitan FINAS.

Jelasnya lagi, sesi itu turut menjadi platform untuk berkongsi pandangan mengenai hala tuju FINAS bersama Sarawak bagi tempoh 2026 hingga 2027.

“Ini sebenarnya lebih kepada proses libat urus bersama mereka. Maklumat yang kami peroleh juga sangat bernilai kerana ia boleh dibawa untuk dibincangkan dengan lembaga pengarah, pihak pengurusan dan Ketua Pegawai Eksekutif sekali gus membantu kami memahami keperluan Sarawak,” tegasnya.

BERITA LAIN

15 Individu Tamat Kursus Kejurulatihan

KUCHING: Seramai 15 individu berjaya menamatkan dan lulus Kursus Sijil Kejurulatihan Diploma ‘B’ AFC/FAM yang berlangsung di Kuching. Kursus berkenaan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu

BERITA TERBARU

15 Individu Tamat Kursus Kejurulatihan

KUCHING: Seramai 15 individu berjaya menamatkan dan lulus Kursus Sijil Kejurulatihan Diploma ‘B’ AFC/FAM yang berlangsung di Kuching. Kursus berkenaan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu