Fokus hak Sarawak

KUCHING: Isu melibatkan hak Sarawak dan kepentingan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) akan menjadi fokus utama yang akan diberikan perhatian oleh Senator Robert Lau yang baharu dilantik sebagai Ahli Dewan Negara.

Lau yang baharu saja mengangkat sumpah sebagai Senator semalam berkata, itu merupakan antara tiga bidang utama akan diberikan tumpuan. “Sepanjang tempoh ini, saya akan lebih memberi perhatian terhadap tiga perkara. “Pertama, hak Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan IGC.

“Kedua, sebagai anggota badan perundangan, saya akan melakukan tugas untuk memastikan prinsip pengasingan kuasa di antara tiga tonggak sistem demokrasi kerajaan (badan perundangan, eksekutif dan kehakiman) dipatuhi.

“Ketiga-tiganya berkaitan dengan kampung halaman saya, Sibu dan Lembah Rajang,” katanya dalam catatan Facebooknya semalam.

Lau berkata, Sibu telah menyaksikan waktu kegemilangan dalam peningkatan sumber semula jadi dan komoditi sejak setengah abad lalu. “Sekarang kami sangat perlu memperbaharui dan mengembangkan ekonomi sehingga dapat menyediakan pekerjaan dan harapan kepada mereka di kawasan ini.

“Ini akan memerlukan pelaburan dalam aspek kemudahan dan prasarana awam dan sektor swasta untuk melabur semula dalam komuniti mereka,” katanya lagi. Sibu yang terletak di tengah Sarawak jelasnya, merupakan pintu masuk ke kawasan pedalaman yang luas dengan ramai masyarakat Iban dan komuniti lain mendiami kawasan tersebut.

“Komuniti ini memerlukan akses yang sama seperti di bandarbandar di Semenanjung Malaysia. Jika tidak, mereka akan jauh ketinggalan,” tegasnya. Beliau juga melahirkan rasa bangga dicalonkan oleh partinya SUPP dan GPS untuk menjadi salah seorang anggota dalam Dewan Negara.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua kepemimpinan SUPP dan GPS kerana mempercayai saya untuk menjalankan peranan saya sebagai Senator.

“Ini adalah tanggungjawab dan kewajipan yang akan saya laksanakan dengan sebaik mungkin,” katanya. Lau juga mengucapkan terima kasih kepada ibu bapanya kerana memberinya peluang untuk belajar dan melanjutkan kerjaya dalam bidang undang-undang dan pendidikan pada tahun 1970-an dan awal 80-an serta semua gurunya dari SMK Sacred Heart, Sibu.

“Peluang dalam pendidikan telah mendorong saya untuk berdiri di Dewan Negara ini untuk menjalankan tugas lain selain melayani masyarakat di Sibu.

“Harapan saya untuk negara sama seperti pemimpin masa lalu iaitu Tunku Abdul Rahman bahawa kita dapat hidup dalam masyarakat yang stabil, demokratik, progresif serta sederhana dan bahawa dasar-dasar kerajaan adalah adil kepada semua rakyat,” tegasnya lagi.