Fokus pembangunan dunia, akhirat

LIMBANG: Perpaduan penting dalam membangunkan kemajuan dunia dan akhirat, jelas Menteri Muda Permodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail. Beliau berkata, kemajuan hanya akan dapat dicapai jika seluruh masyarakat setempat bersatu padu melaksanakannya.

“Kemajuan bukan hanya dinilai dari segi pembangunan infrastruktur. Malah bagi mereka yang beragama Islam, kemajuan yang utama adalah di akhirat kelak. “Kepentingan perpaduan dalam menghadapi apa-apa jua keadaan akan memastikan pembangunan sama ada untuk dunia mahupun akhirat dapat dicapai dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Bicara Agama anjuran Biro Agama dan Pendidikan PBB Cawangan Bukit Kota di Surau Darussolehat Kampung Sungai Poyan, semalam. Dr Abdul Rahman yang juga Adun Bukit Kota turut menyumbang dana RM10,000 untuk membeli peralatan yang diperlukan oleh surau.

Antara pengisian sepanjang program adalah ceramah agama yang disampaikan oleh Ustaz Zahrin Bolhassan dari Jabatan Agama Islam Limbang.

Hadir sama Penghulu Yusop Dollah; Ketua Kampung Sahrin Aji dan Pengerusi Jawatan Kuasa Pengurusan Surau Darussolehat Kampung Sungai Poyan Khastalani Daud.

Suara Sarawak