KOTA SAMARAHAN: Peniaga Samarahan digalak mengadaptasi perniagaan masing-masing dengan platform pemasaran digital bagi meningkatkan jumlah pendapatan selain mengfokuskan platform pemasaran fizikal.
Pengerusi Koperasi Inovatif Usahawan Bumiputera Sarawak Berhad (KiUB), Saidi Rasemi berkata, ia seiring dengan inisiatif yang diberi fokus dalam Belanjawan 2024 dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Bajet 2024 Kerajaan Madani menyediakan RM100 juta geran pendigitalan sehingga RM5,000 bagi manfaat lebih 20,000 usahawan peniaga kecil dan sederhana (PKS) dan pengusaha mikro.
Selain itu, RM900 juta dana pinjaman di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menggalakkan syarikat peniaga PKS meningkatkan produktiviti; RM40 juta bagi Program Shop Malaysia dalam talian; dan RM25 juta peruntukan Pusat Ekonomi Digital di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Peniaga khususnya peniaga Uptown Samarahan perlu mengadaptasi kaedah inklusif itu di samping berani melonjakkan jenama produk menerusi aplikasi teknologi terkini dalam proses pembuatan dan pengilangan.
“Masa ini paling sesuai untuk mereka (peniaga Uptown) mengembangkan pasaran produk lebih meluas dengan memenuhi syarat ditetapkan bagi membolehkan mereka dibantu oleh pelaksana dasar,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tegasnya, inisiatif atau proses penyaluran geran, dana mahupun pinjaman diharap dapat dipermudahkan bagi membolehkan lebih ramai peniaga mendapat manfaat secara saksama. “Kita berharap agar peluang inisiatif yang telah dibentangkan digunakan sebaik mungkin oleh para peniaga untuk mendapatkan manfaat sebaik mungkin,” katanya.



