SEPANG: Formula Satu (F1) berpotensi kembali menjadikan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebagai lokasi tetap dalam kalendar perlumbaan selepas kerajaan mula meneliti ruang untuk mengembalikan Grand Prix Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuannya dengan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Formula 1, Stefano Domenicali sebelum perlumbaan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia 2026 bermula di SIC.

“Kami membincangkan prospek mengembalikan Grand Prix Malaysia dalam kalendar Formula 1 secara tetap, sekali gus menyambut hasrat peminat yang sekian lama menantikan kepulangannya ke Sepang.
“Namun, usaha ini memerlukan masa kerana penyusunan kalendar perlumbaan perlu mengambil kira jadual yang padat serta komitmen kontrak dengan negara penganjur sedia ada,” katanya dalam hantaran di Facebook, semalam.

Anwar berkata, perkara itu akan dibawa untuk perbincangan bersama Jemaah Menteri bagi meneliti ruang dan hala tuju yang bersesuaian, termasuk kemampuan negara serta potensi manfaat ekonomi kepada rakyat.
“Insya-Allah, perkara ini akan dibincangkan bersama Jemaah Menteri dengan mengambil kira kemampuan negara serta manfaatnya kepada ekonomi dan rakyat,” katanya.

Sepang kembali menganjurkan perlumbaan F1 pada 2026 selepas kali terakhir menjadi tuan rumah Grand Prix Malaysia pada 2017.
Kepulangan kali ini bagaimanapun bukan sebagai Grand Prix Malaysia, sebaliknya SIC menjadi lokasi sementara bagi Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia dari 2 hingga 4 Oktober.
Formula 1 dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) sebelum ini mengesahkan pemindahan perlumbaan Bahrain ke Malaysia dibuat menerusi persetujuan antara Formula 1, FIA serta kerajaan Bahrain dan Malaysia bagi memastikan perlumbaan berkenaan dapat diteruskan dalam kalendar 2026.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Bahrain atas kepercayaan memilih Malaysia dan SIC untuk menjayakan perlumbaan itu.
“Saya merakamkan penghargaan kepada Bahrain atas kepercayaan kepada Malaysia dan Litar Antarabangsa Sepang untuk menjayakan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026, sekali gus mempererat persahabatan kedua-dua negara,” katanya.
Menurut beliau, kerjasama rapat antara SIC dan Bahrain International Circuit (BIC), selain komitmen seluruh pasukan penganjur, membolehkan perlumbaan berkenaan berlangsung dengan jayanya.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat di sebalik penganjuran perlumbaan, termasuk pemandu bas, anggota keselamatan, sukarelawan, peniaga dan petugas kebersihan.
“Terima kasih kepada peminat F1 dari seluruh dunia serta rakyat Malaysia yang memeriahkan perlumbaan dan menyambut kehadiran pelawat antarabangsa.
“Semoga kita ketemu lagi di Sepang. Insya-Allah!” katanya.
Sepang mempunyai sejarah panjang bersama F1 apabila mula menjadi tuan rumah pada 1999 dan kekal dalam kalendar sehingga 2017. Litar sepanjang 5.543 kilometer itu terkenal dengan kombinasi laluan lurus panjang, selekoh berkelajuan tinggi serta cuaca tropika yang tidak menentu.
Kepulangan F1 ke Sepang tahun ini turut mendapat perhatian besar kerana lebih separuh daripada grid semasa tidak pernah berlumba di litar itu sebelum ini, susulan ketiadaan Malaysia daripada kalendar selama sembilan tahun.
Perlumbaan Ahad pula berlangsung dalam keadaan luar biasa apabila hujan lebat memaksa permulaan ditangguhkan lebih 90 minit sebelum Max Verstappen dari Red Bull Racing meraih kemenangan di hadapan Kimi Antonelli dan Lewis Hamilton.



