DI SEBALIK setiap foto hebat, ada jurugambar yang tekun merakam dengan mata dan hati.
Namun, dalam dunia yang semakin biasa menggunakan kamera telefon pintar dan aplikasi penyunting gambar, kerjaya jurugambar profesional di Malaysia kini berdepan pelbagai cabaran yang semakin kompleks saban tahun.
Walaupun teknologi memudahkan banyak aspek kerja, ia juga mewujudkan tekanan baharu terhadap kelangsungan kerjaya ini, terutama apabila bakat, masa dan pelaburan mereka sering dipandang enteng.
Salah satu cabaran terbesar yang dihadapi oleh jurugambar tempatan ialah isu bayaran yang rendah dan tidak sepadan dengan kerja mereka.
Dalam banyak situasi, jurugambar hanya ditawarkan bayaran minimum, walaupun tugasan tersebut memerlukan masa yang lama, tenaga fizikal, dan penggunaan peralatan bernilai tinggi.
Untuk menjadi jurugambar yang kompeten, seseorang perlu melabur ribuan ringgit untuk memiliki kamera profesional, lensa, pencahayaan, pelbagai aksesori, serta perisian penyuntingan seperti Adobe Lightroom atau Photoshop.
Selain itu, kos penyelenggaraan dan keperluan menaik taraf peralatan turut menjadi beban besar. Malangnya, nilai kerja jurugambar sering dipandang rendah kerana ada yang beranggapan sesi fotografi hanya sekadar ‘tekan butang’.
Ada juga klien yang meminta potongan harga yang keterlaluan atau menginginkan gambar percuma dengan alasan kononnya untuk memberi ‘pendedahan’ kepada jurugambar.
Dalam jangka masa panjang, amalan seperti ini bukan sahaja melemahkan semangat penggiat industri, malah turut menjejaskan nilai pasaran fotografi secara keseluruhan.
Selain itu, kemunculan telefon pintar berkamera canggih mencetuskan ledakan ‘jurugambar segera’.
Kini, sesiapa sahaja boleh merakam gambar menarik dan memuat naiknya ke media sosial menggunakan penapis (filter) digital serta suntingan automatik yang tersedia.
Situasi ini terus melebarkan jurang antara jurugambar profesional dengan masyarakat umum.
Apabila perkhidmatan fotografi ditawarkan secara meluas tanpa kelayakan atau kemahiran teknikal, pasaran menjadi tepu dan nilai industri mula terhakis.
Ramai jurugambar berpengalaman terpaksa bersaing dengan amatur yang menawarkan harga rendah sematamata, tanpa mengambil kira kualiti, etika, dan tanggungjawab kerja.
Perkara ini turut menimbulkan dilema etika dan piawaian profesional dalam industri.
Gambar yang kelihatan cantik tidak semestinya berkualiti dari segi teknikal, apatah lagi daripada sudut naratif visual. Namun, dalam dunia serba pantas hari ini, keindahan luaran sering diberi keutamaan berbanding nilai sebenar sesebuah karya fotografi.
Pada masa yang sama, jurugambar di Malaysia masih belum diiktiraf sebagai golongan profesional yang mempunyai perlindungan kerjaya dan hak cipta yang kukuh.
Ramai dalam kalangan mereka mendapati karya digunakan tanpa izin, tanpa kredit, malah ada yang diubah suai tanpa kebenaran atau pengetahuan mereka.
Dalam banyak kes, jurugambar berurusan tanpa kontrak rasmi dengan pihak klien, sekali gus membuka ruang kepada pelbagai bentuk eksploitasi.
Di samping itu, Malaysia masih tiada sistem pendaftaran hak cipta yang mudah dan mesra pengguna bagi karya visual seperti gambar, menyebabkan ramai jurugambar merasa sukar mengambil tindakan undang-undang apabila hak mereka dicabuli.
Status sebagai jurugambar bebas turut menghadkan akses mereka kepada perlindungan sosial seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan insurans.
Tanpa jaringan keselamatan ini, ramai yang bekerja tanpa sebarang jaminan masa depan, sekali gus menjadikan kerjaya ini rapuh dari sudut kebajikan.
Dari luar, kerjaya jurugambar sering dilihat sebagai sesuatu yang glamor kerana kehadiran mereka di majlis perkahwinan mewah, acara selebriti, atau konsert besar.
Namun, hakikatnya, pekerjaan ini amat meletihkan.
Jurugambar kerap berada di lokasi selama berjam-jam, sering tanpa rehat yang mencukupi, sambil menanggung peralatan yang berat.
Dalam masa yang sama, mereka juga perlu sentiasa peka terhadap keadaan sekeliling bagi memastikan setiap momen penting dapat dirakam dengan sempurna.
Jurugambar berita dan dokumentari pula berdepan dengan cabaran yang jauh lebih berat.
Mereka ditugaskan ke zon konflik, kawasan bencana, atau lokasi tragedi untuk merakam detikdetik getir yang menyentuh emosi.
Tugasan sebegini menuntut bukan sahaja ketahanan fizikal, tetapi juga kekuatan mental yang luar biasa.
Malangnya, dalam banyak kes, mereka melaksanakannya tanpa insentif, perlindungan, atau pengiktirafan yang setimpal. Kekangan akses turut menjadi cabaran besar buat jurugambar profesional, khususnya apabila berurusan dengan peraturan ketat dan birokrasi yang melecehkan.
Ada yang dihalang daripada mengambil gambar di tempat awam atau acara rasmi hanya kerana tiada pas khas, biarpun hadir atas kapasiti tugas rasmi.
Selain itu, akses kepada latihan lanjutan dan pembangunan profesional berterusan masih belum meluas. Ramai jurugambar tidak berkemampuan untuk mengikuti kursus atau bengkel berbayar yang sering dimonopoli oleh syarikat besar.
Malangnya, badan industri dan persatuan profesional pula gagal memainkan peranan efektif dalam memperjuangkan kebajikan jurugambar bebas.
Kerjaya jurugambar sewajarnya dihargai setaraf dengan kerjaya seni dan kreatif yang lain.
Merekalah yang membekukan masa, menghidupkan naratif, dan mendokumentasikan detik-detik penting dalam kehidupan kita, sama ada daripada majlis keluarga hingga ke peristiwa bersejarah negara.
Untuk memastikan industri fotografi terus berkembang di Malaysia, usaha menyeluruh diperlukan daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan, syarikat, badan profesional dan masyarakat umum.
Ini meliputi skim sokongan sosial untuk jurugambar bebas, sistem pendaftaran hak cipta yang mesra pengguna, pendidikan fotografi yang lebih meluas serta galakan untuk menghargai mutu kerja berbanding harga murah.
Naratif mengenai peranan jurugambar dalam masyarakat perlu diberi perhatian semula dalam dasar awam. Mereka bukan sekadar tukang ambil gambar, tetapi pencerita visual yang mendokumentasikan sejarah, membentuk identiti budaya dan menyumbang kepada pembangunan intelektual negara.



