KUCHING: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menerusi Fakulti Sains dan Teknologi Sumber (FSTS) terus komited memperkasa komuniti setempat dengan menganjurkan Bengkel Pembuatan Sabun dan Eco-Enzyme bersama penduduk Kampung Bako di Masjid Al-Hidayah, hari ini.
Menurut kenyataan UNIMAS, program tersebut dilaksanakan menerusi Program Pendayaan Komuniti Universiti Awam, Komuniti@UniMADANI UNIMAS, hasil penajaan dua projek daripada Kementerian Kewangan berjumlah RM100,000, melibatkan dua pakar kimia FSTS bagi projek penghasilan sabun dan bahan pencuci mesra alam.
Seramai 30 orang penduduk Kampung Bako menyertai bengkel berkenaan, memfokuskan latihan praktikal penghasilan sabun serbaguna daripada minyak masak terpakai serta eco-enzyme daripada sisa buah-buahan, sekali gus membantu komuniti mengurus sisa dapur secara lestari dan berpotensi menjana pendapatan sampingan.
Ketua Projek Transformasi Minyak Masak Terpakai, Dr Ain Nadirah berkata, hasil maklum balas peserta menunjukkan sabun yang dihasilkan berkesan digunakan sebagai pencuci pinggan mangkuk dan pencuci pakaian, selain sesuai dijadikan cenderamata kerana mudah dibawa dan selamat digunakan oleh semua peringkat umur.


Sementara itu, Ketua Projek Eco-Enzyme daripada Sisa Buah-buahan, Dr Dayang Norafizan Awang Chee berkata eco-enzyme yang diperkenalkan melalui pendekatan formulasi kimia diketengahkan sebagai alternatif mesra alam, berpotensi digunakan sebagai penghalau serangga termasuk lalat.
Terdapat peserta bengkel yang berjaya memasarkan produk penghalau lalat berasaskan eco-enzyme dengan keuntungan sekitar RM15 sebotol dan menerima permintaan berterusan daripada pengguna.
UNIMAS turut memaklumkan program seumpama ini selari dengan aspirasi universiti memindahkan ilmu dan kepakaran kepada masyarakat, sekali gus menyokong agenda kelestarian dan pembangunan sosioekonomi komuniti setempat.
Salah seorang peserta bengkel, Hamizan Jemi, 48, yang juga guru KAFA Sekolah Kebangsaan Bako berkata program sedemikian amat dinanti-nantikan kerana membuka ruang kerjasama dengan UNIMAS serta memberi peluang kepada penduduk menjadikan pengetahuan diperoleh sebagai asas perniagaan kecil-kecilan.
Sementara itu, Bendahari Jawatankuasa Masjid Al-Hidayah Bako, Heazani Jemi, merakamkan penghargaan kepada UNIMAS dan berharap lebih banyak program kemasyarakatan seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan bagi manfaat penduduk kampung.
Ends.
Caption:
1- 3: Bengkel Pembuatan Sabun dan Eco-Enzyme bersama penduduk Kampung Bako di Masjid Al-Hidayah.


