KUCHING: Pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) Sarawak bakal membuka ruang lebih luas kepada golongan kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat menara gading.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif tersebut memberi sinar baharu kepada anak-anak nelayan, petani serta golongan B40 yang sebelum ini terpaksa melupakan impian melanjutkan pelajaran meskipun memiliki pencapaian akademik cemerlang berikutan kekangan kewangan keluarga.

“Hari ini merupakan satu hari yang bersejarah dalam sistem pendidikan kita di Sarawak kerana anak-anak Sarawak mempunyai peluang, mempunyai kebolehan untuk menyambung pendidikan mereka ke peringkat universiti secara percuma.
“Kepada keluarga yang tidak berkemampuan, anak-anak mereka sebenarnya bijak, anak-anak mereka berbakat tetapi mereka tidak dapat menyambung pendidikan ke peringkat universiti kerana kekangan kewangan.
“Walaupun memperoleh keputusan yang cemerlang, ada yang ditawarkan tempat ke universiti, namun kerana ketidakmampuan keluarga maka pendidikan mereka terhenti setakat itu sahaja. Keadaan ini sudah tentu menyebabkan masa depan mereka menjadi tidak cerah,” katanya ketika menyempurnakan pelancaran FTES di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn serta Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Abang Johari menegaskan langkah itu bertujuan mengurangkan beban kewangan ibu bapa yang kini tidak lagi perlu menggunakan pendapatan keluarga bagi menampung kos pendidikan tinggi anak-anak mereka.
Sehubungan itu, beliau menekankan bahawa bantuan pendidikan percuma tersebut bukan sekadar retorik, sebaliknya merupakan komitmen jelas kerajaan negeri dalam membantu anak Sarawak tanpa mengira latar belakang sosial untuk memasuki universiti milik Sarawak.
“Kita tahu dengan jelas, ramai pelajar Sarawak mampu cemerlang di peringkat pengajian tinggi namun hanya kerana keluarga tidak mampu menyokong, mereka tidak dapat meneruskan ke tahap tersebut.
“Ramai juga yang berjanji, ya, kami boleh membantu tetapi ia hanya retorik semata-mata,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperuntukkan sebanyak RM250 juta bagi melaksanakan FTES pada tahun 2026.
Malah beliau memberi jaminan bahawa bantuan berkenaan akan diteruskan pada tahun-tahun berikutnya.
“Ini bukan untuk satu tahun sahaja, setiap tahun kita akan teruskan…ini adalah tanggungjawab pemimpin,” katanya.



