Fun Run platform segarkan tema ‘polis dan masyarakat berpisah tiada’

SARATOK: PDRM Saratok Fun Run 2019 yang dianjurkan bersempena sambutan Peringatan Hari Polis Ke-212 berjaya mengeratkan hubungan baik antara agensi keselamatan itu dengan masyarakat.

Ketua Polis Daerah (KPD) Saratok Deputi Superintendan Mordani Tanin memberitahu, usaha ini sebagai menyegarkan tema sambutan iaitu ‘polis dan masyarakat berpisah tiada’ yang menjadi kekuatan pasukan.

“Selain sebagai galakan terhadap aktiviti sihat dalam kalangan warga polis dan masyarakat, kita ingin mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dengan masyarakat yang memberi sokongan dalam membanteras aktiviti jenayah selama ini.

“Ia selaras dengan tema sambutan Peringatan Hari Polis tahun ini, polis dan masyarakat berpisah tiada,” katanya ketika ditanya selepas berakhirnya larian di sini, semalam.

Jelasnya, program yang bermula seawal 6:00 pagi di Padang Kawad Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok berjalan lancar dengan penyertaan 250 orang.

Turut memeriahkan larian, Ahli Parlimen Saratok Ali Biju yang sekaligus menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) Saratok Fun Run 2019 yang dilakukan sejauh enam kilometer dimenangi oleh Yap Fong Lin bagi kategori veteran wanita, sementara veteran lelaki disandang oleh Sia Yee Fong.

Sementara kategori terbuka wanita dan lelaki masing-masing dimenangi oleh Lvy Mayan Banyah dan Abang Mohd Zaini Abang Sharif. Kesemua mereka pulang dengan hadiah RM200 beserta medal dan sijil.

Antara pengisian lain yang turut dijalankan ialah senaman kecergasan yang dipimpin Kelab Indai Tai Fitness Saratok, pertandingan mewarna anak-anak kakitangan polis yang dianjurkan oleh Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Saratok dan cabutan bertuah yang menawarkan dua buah basikal sebagai hadiah utama.

Suara Sarawak