Gabungan politik aspirasi negara, tawaran baharu kepada rakyat – PM

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) adalah tawaran baharu kepada rakyat dan ingin kekal sebagai sebuah gabungan politik yang berkongsi aspirasi negara untuk generasi akan datang, kata Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, PN juga ingin memimpin Malaysia dengan lebih cekap, berkesan dan kompeten, serta memiliki aspirasi yang tinggi untuk terus memelihara perpaduan rakyat yang berbilang kaum dan agama.

“Perikatan Nasional menawarkan ‘New Deal to all Malaysians’ (tawaran baharu untuk seluruh rakyat Malaysia) dan kami akan ada untuk tempoh masa yang lama. Kita ingin terus merasai denyut nadi rakyat dan memenuhi keperluan mereka dengan penuh prihatin.

“Kita komited untuk mentadbir negara ini dengan berintegriti dan berwibawa, demi memelihara kesejahteraan dan kebajikan rakyat seluruhnya,” katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang ke-49 secara maya di sini, hari ini.

Persidangan berkenaan yang dihadiri Penasihat Parti Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong, Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dan Timbalan Presiden Oh Tong Keong dilangsungkan secara hibrid dengan kehadiran fizikal di Dewan Wawasan Tun Dr Lim Keng Yaik, Menara PGRM serta secara maya.

Muhyiddin berkata, kesungguhan memenuhi aspirasi rakyat untuk Malaysia yang lebih baik serta disokong dengan kesatuan dan perpaduan parti komponen, akan menjadikan PN sebagai gabungan parti politik pilihan utama rakyat.

Beliau berkata, selain itu, sokongan rakyat terhadap PN yang dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan terbaharu Gerakan, juga akan lebih terserlah dan kukuh, apabila parti itu terbukti berjaya melaksanakan segala janji dan komitmennya.

Perikatan Nasional kata Perdana Menteri, mempunyai peranan yang penting dalam mewujudkan kestabilan politik dan mengekalkan keharmonian rakyat berbilang kaum yang bersatu padu di dalam sebuah negara majmuk, selain menjunjung prinsip tadbir urus yang baik dalam pentadbiran kerajaan dan menegakkan kedaulatan undang-undang.

Muhyiddin berkata, sebagai sebuah gabungan parti politik, PN juga sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya.

“Selain mempersiapkan jentera parti di setiap peringkat, kita juga mesti memantapkan persiapan dengan mengambil iktibar daripada pengalaman yang lepas, iaitu kita mestilah sentiasa mendekati rakyat dan mendapat kepercayaan mereka. Kita perlu tingkatkan kepercayaan daripada rakyat bahawa kita adalah sebuah kerajaan yang cakna, siang dan malam.

Mengenai Gerakan, anggota baharu yang diterima masuk pada 11 Februari lalu selepas diluluskan sebulat suara oleh Majlis Tertinggi PN, Muhyiddin berkata, penyertaan parti itu akan memperkukuhkan PN sebagai gabungan parti politik yang wakili masyarakat pelbagai kaum, agama dan wilayah, di negara ini.

“Mudah-mudahan berkat iltizam, kecekalan dan semangat setiakawan dalam kalangan parti-parti komponen, saya yakin segala usaha murni Perikatan Nasional akan dapat dizahirkan, menerusi mandat rakyat dalam pilihan raya. Kita akan muncul bersama sebagai satu perikatan yang kuat. Dengan izin Allah, Insya-Allah,” katanya.

“Saya percaya, dengan sejarah dan pengalaman politik yang panjang sejak penubuhannya pada tahun 1968, Gerakan mampu menjadi rakan komponen yang signifikan kepada PN.

“Inilah prinsip-prinsip asas yang menunjangi pembentukan Perikatan Nasional. Maka dengan itu, marilah kita bersama-sama merapatkan saf dan memperkukuhkan gerak kerja sehingga ke peringkat akar umbi, bagi merangka formula terbaik demi kestabilan politik negara dan kemakmuran rakyat jelata.

“Kita perlu kekal bersatu padu di seluruh peringkat dalam memastikan kejayaan sebagai satu. Apabila kita bersatu hati dan mencapai kestabilan politik yang utuh, segala inisiatif untuk memulih dan membangunkan ekonomi negara, akan lebih mudah kita laksanakan,” katanya.

Suara Sarawak