KUCHING: Pertandingan AI Artventure sempena Galeri Seni Digital 2025 (DAG25): Pengembaraan Seni AI dijangka mencuri tumpuan apabila menjadi wadah baharu bagi mencungkil kreativiti generasi muda Sarawak melalui gabungan seni, pendidikan dan kecerdasan buatan (AI).
Mengangkat tema ‘Bumi Hijau’ pertandingan ini membuka peluang kepada pelajar sekolah dari seluruh negeri untuk menghasilkan karya seni bertemakan kelestarian alam sekitar.

Ketua Sekretariat Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak 2025 (IDECS2025), Amirrul Rizwan Mohd Abd Hafiz berkata, setiap karya akan diproses dan diolah semula menggunakan teknologi AI, lalu dipaparkan secara interaktif pada dinding digital sepanjang lima meter di Makeramai Makerspace, Plaza Merdeka, Kuching.
“Pertandingan tersebut bukan sekadar pameran seni digital, sebaliknya menjadi platform bagi pelajar memahami potensi teknologi secara kreatif dan positif.
“AI Artventure membuka ruang kepada generasi muda untuk melihat bahawa AI bukan ancaman, tetapi alat yang mampu memperkaya daya imaginasi dan mengembangkan bakat mereka,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan di sini, hari ini.

Beliau menambah, inisiatif ini seiring aspirasi kerajaan Sarawak untuk melahirkan masyarakat celik digital serta mengukuhkan kedudukan negeri sebagai hab inovasi dan ekonomi digital serantau.
Pertandingan AI Artventure menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM15,000, termasuk iBoard 65 inci untuk sekolah dengan penyertaan tertinggi dan iPad kepada pelajar dengan karya AI paling kreatif.
Setiap peserta turut menerima e-sijil dan salinan digital karya janaan AI mereka, manakala orang ramai yang menyertai pertandingan juga berpeluang memenangi sebuah iPad.

Selain pertandingan, DAG25 turut menyediakan empat zon interaktif bertemakan STEAM yang direka untuk mendorong pembelajaran berasaskan pengalaman – Zon Seni (melukis dan mewarna), Zon Kejuruteraan (blok magnetik), Zon Pembinaan (binaan Lego) dan Zon Kraf tangan (hasil manik serta kraf kreatif).
Amirrul berkata, DAG25 yang akan berlangsung dari 22 hingga 26 Oktober ini di Dewan Balai Rong, Makeramai Makerspace, memberi peluang kepada masyarakat menyaksikan bagaimana seni dan teknologi boleh bergabung menghasilkan pengalaman baharu yang menginspirasi.
“Pameran ini terbuka secara percuma kepada orang ramai, manakala penyertaan pertandingan boleh dilakukan melalui pautan www.aigenius.com.my/dag2025. Untuk maklumat lanjut, layari www.idecs.com.my atau ikuti perkembangan terkini di media sosial rasmi @idecs25,” katanya.





