MUKAH: Musibah banjir yang melanda beberapa kawasan pedalaman di Bahagian Mukah baru-baru ini bukan sahaja menguji ketabahan penduduk setempat malah menjadi medan ujian semangat juang buat seorang pelajar Politeknik Mukah (PMU), Thristellatea Samban Jeffery.
Walaupun berdepan pelbagai kekangan akibat bencana alam tersebut, Thristellatea tetap tekad untuk sampai ke institusi berkenaan bagi melunaskan sesi pendaftaran.
Menurut anak jati Lubok Bemban itu, dia berhadapan situasi sukar apabila hujan berterusan menyebabkan paras air sungai di kawasan tersebut meningkat secara mendadak.
“Hujan berterusan di kawasan ini menyebabkan paras air sungai meningkat dan melimpahi laluan utama yang menghubungkan kawasan kediaman kami dengan bandar Mukah.
“Keadaan ini mengakibatkan jalan darat tidak dapat dilalui oleh kenderaan biasa sekali gus menjejaskan pergerakan harian penduduk termasuk urusan penting seperti pendidikan dan pekerjaan,” katanya.


Sehubungan itu, Thristellatea bersama keluarga menzahirkan penghargaan terhadap inisiatif yang digerakkan oleh penduduk setempat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine bagi memastikan urusan pendaftarannya di PMU berjalan lancar.
Pada hari berkenaan, dia mendapat bantuan daripada Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang bertindak pantas membantu mengharungi kawasan banjir.
Jelasnya, dengan menggunakan kenderaan dan kelengkapan yang sesuai, pihak APM telah membantu menghantarnya dari Lubok Bemban ke kampus PMU.
Tambahnya, pengalaman meredah banjir demi melanjutkan pengajian merupakan memori berharga yang menjadi penguat semangat untuk dia terus berusaha mencapai kejayaan.
“Saya menganggap ini sebagai ujian awal sebelum melangkah lebih jauh dalam dunia pendidikan.
“Bantuan yang diterima ini amat dihargai dan ia memberi dorongan kepada saya untuk berusaha bersungguh-sungguh,” katanya lagi.
Dalam pada itu, kisah Thristellatea membuktikan semangat kebersamaan dan keprihatinan antara agensi keselamatan, pemimpin masyarakat serta orang awam dalam memastikan kelangsungan pendidikan walaupun ketika berdepan musibah.
Ia turut menjadi peringatan bahawa nilai kemanusiaan dan kerjasama tetap menjadi asas kekuatan masyarakat dalam membina masa depan yang lebih baik.



