KUCHING: Anugerah Kecemerlangan Hijau & Taman Geo (GAGA) 2026 mengiktiraf 26 penerima susulan sumbangan dalam pemuliharaan alam sekitar, pengurusan taman geo secara lestari, pelancongan bertanggungjawab dan pembangunan komuniti.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, pengiktirafan itu bukan sekadar penghargaan ke atas pencapaian yang telah diraih, sebaliknya perlu diteruskan dengan perkongsian ilmu dan pengalaman.
“Ilmu yang diperoleh perlu dikongsi dan menjadi inspirasi kepada pihak berkuasa tempatan lain di Malaysia agar usaha kelestarian tidak terhad kepada Sarawak sahaja,” katanya ketika berucap pada GAGA 2026 di Hotel UCSI, di sini, pada Selasa.
Sehubungan itu, platform antarabangsa itu mengiktiraf inisiatif inovatif yang menyelaras kemajuan ekonomi dengan kelestarian alam sekitar, sekali gus mencerminkan komitmen Malaysia dengan tindakan iklim, pembangunan mampan dan masa depan yang lebih hijau.
Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) menerima pengiktirafan dalam beberapa kategori, termasuk Anugerah Pendidikan dan Kesedaran Alam Sekitar; Anugerah Inovasi Teknologi Hijau serta Anugerah Pertanian Lestari dan Keselamatan Makanan.
Selain, MBKS turut menerima Anugerah Perintis Edaran Komuniti; Anugerah Inovasi Infrastruktur Hijau Pintar serta Anugerah Kepimpinan Transformasi Bandar Lestari menerusi Datuk Wee Hong Seng.
Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) turut meraih beberapa pengiktirafan, termasuk Anugerah Kepimpinan Cemerlang Inovasi Bandar Pintar dan Transformasi Digital menerusi Datuk Hilmy Othman.
Pada masa sama, turut menerima Anugerah Perintis Ekonomi Kitaran; Anugerah Penyelesaian Berasaskan Alam Semula Jadi; Anugerah Inovasi Bandar Lestari serta Anugerah Dasar dan Tadbir Urus Alam Sekitar.
Dalam pada itu, Majlis Bandaraya Miri menerima dua anugerah iaitu Anugerah Inisiatif Komuniti Sifar Sisa dan Anugerah Bangunan Hijau Terbaik.
Anugerah Kecemerlangan Sekolah Hijau dan Pendidikan Ekonomi Kitaran diserahkan kepada SMK Lutong, manakala Pengerusi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) Datuk Seri Ir Jaseni Maidinsa menerima Anugerah Kepimpinan Transformasi Kelestarian.
Seterusnya, Datuk Ir Rajendran P. Anthony dari Majlis Bandaraya Pulau Pinang menerima Anugerah Kepimpinan Kelestarian Pihak Berkuasa Tempatan.
Diikuti, Anugerah Organisasi Hijau Tahun Ini dan Anugerah Kecemerlangan Pensijilan Bangunan Hijau turut dianugerahkan kepada majlis bandaraya berkenaan.
Sementara, Datuk Cheok Lay Leng dari Perbadanan Bukit Bendera menerima Anugerah Kecemerlangan Destinasi Lestari dan Pemeliharaan Biosfera.
Ahli Lembaga Eksekutif Rangkaian Taman Geo Global dan Timbalan Pengurus Besar Pelabuhan Langkawi Dr Azmil Munif Mohd Bukhari pula menerima Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan Rangkaian Taman Geo dan Kerjasama Antarabangsa.
Pengarah Jabatan Hutan Sarawak (JHS) Datuk Hamden Mohammad menerima Anugerah Pemeliharaan Hutan Lestari.
Manakala, Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) diiktiraf menerusi Anugerah Kecemerlangan Acara Lestari Terpanjang bagi Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF).
Sementara, Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) menerima Anugerah Infrastruktur Lestari Aspirasi, manakala Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo diiktiraf sebagai Tarikan Pelancongan Hijau Terbaik.
Akhir sekali, Tropical Charters menerima Anugerah Pengendali Pelancongan Patuh ESG, manakala TUI BLUE The Haven Ipoh menerima Anugerah Penginapan Taman Geo Paling Menawan.



