ARTIKEL

Gagal Berenang Ke Kapal Ditiup Ribut, Warga India Dilaporkan Lemas di Baram

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MARUDI: Operasi mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan bagi mengesan seorang kru kapal warga India yang dilaporkan hilang selepas dipercayai lemas di Sungai Tutoh, Hilir Kampung Kuala Tutoh, Baram petang semalam.

Menurut Jurucakap Bomba Sarawak, mangsa dikenali sebagai Prashant, 21 tahun, dipercayai hilang selepas berenang dari pantai menuju ke kapal tempatnya bekerja dalam keadaan cuaca ribut kira-kira jam 4 petang semalam.

“Menurut laporan awal, ketika kejadian, mangsa dikatakan turun mandi di sungai bersama beberapa rakan sekerja dengan berenang dari kapal ke tebing pasir berhampiran. Tidak lama kemudian, ribut kuat melanda menyebabkan kapal yang berlabuh beralih ke tengah sungai,” katanya dalam kenyataan.

Tambah jurucakap itu, melihat kapal semakin jauh, mangsa cuba berenang semula ke arah kapal yang dianggarkan berada kira-kira 30 meter dari pantai.

Namun katanya, mangsa tiba-tiba tenggelam dan hilang daripada pandangan saksi.

“Ketika itu, rakan-rakan mangsa tidak sempat memberikan bantuan pelampung keselamatan kerana kejadian berlaku terlalu pantas,” jelasnya.

Difahamkan, tiada saksi yang terjun untuk menyelamatkan mangsa memandangkan kawasan tersebut dikatakan pernah menjadi habitat beberapa ekor buaya menjadikan keadaan sungai berbahaya untuk diselami.

“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Marudi digerakkan ke lokasi sekitar jam 7.30 pagi Khamis menggunakan sebuah bot aluminium untuk menjalankan operasi pencarian hari pertama.

“Pasukan penyelamat menggunakan kaedah pencarian ‘grappling iron’ dari atas kapal di kawasan terakhir mangsa dilihat. Setakat tengah hari ini, operasi masih diteruskan namun mangsa belum dijumpai,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU