KUCHING: Seorang wanita tempatan dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas didapati bersalah terlibat dalam penyalahgunaan dadah jenis syabu pada April tahun lalu.
Sania Hamilton, 30, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mason Jaro Lenya Barayan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1) akta sama kerana terlibat dalam pengambilan dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
Kesalahan itu dilakukan ketika dia ditahan di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan sekitar jam 4.45 petang, 22 April 2024.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 serta diletakkan di bawah pengawasan untuk tempoh tidak melebihi tiga tahun.
Berdasarkan fakta kes, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas tertuduh di IPD Padawan menunjukkan keputusan positif dadah.

Sampel urin kemudiannya dihantar ke Jabatan Patologi Hospital Umum Sarawak, yang mengesahkan kehadiran Amphetamine dan Methamphetamine dalam badannya.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas menjalani hukuman penjara.

