Galak usahawan sertai transformasi digital

KUCHING: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) bercadang menjalin kerjasama dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dalam usaha mengalak lebih ramai usahawan tempatan dan PKS sertai transformasi digital ekonomi.

Menurut Pengurus Besar SEDC Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir, usaha ini penting kerana transformasi digital berupaya mengubah cara PKS beroperasi.

“Kami bercadang untuk menjalin kerjasama dengan MPC dalam bidang ekonomi digital dan penggunaan teknologi digital agar mereka menyertai program pembangunan keusahawanan kami,” katanya semasa menerima kunjungan hormat daripada Pengarah MPC Sarawak Sarimah Misman di Menara SEDC, Kuching Isthmus baru-baru ini.

Abdul Hadi menambah, ekonomi digital memainkan peranan penting dalam perkembangan ekonomi pasca-Covid-19.

Menurutnya, usahawan tempatan dan PKS perlu mengharungi proses pemulihan dan penstrukturan semula rantian bekalan mereka demi merebut peluang dari perdagangan merentas sempadan melalui penggunaan Internet.

“Kami percayai melalui kerjasama yang bakal dijalin dengan MPC maka, usahawan tempatan boleh menjadi perintis laluan baharu dalam pembangunan ekonomi digital dikalangan masyarakat tempatan, Sarawak dan negara,” tegasnya.

Katanya lagi, usahawan dan pengusaha PKS perlu bersifat terbuka dan terus berusaha memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan mereka. “Pandemik Covid-19 sedang menguji ketahanan dunia perniagaan di setiap sektor ekonomi, industri dan perusahaan hari ini,” ujarnya.

Memandangkan cabaran yang dihadapi oleh golongan usahawan dan pengusaha PKS, SEDC katanya, akan terus mengalak mereka untuk merebut peluang untuk meningkatkan keupayaan dalaman mereka.

“Antara kesan pandemik yang ketara ialah ia mempercepatkan transformasi digital di beberapa negara yang semakin beralih usaha pemulihan ekonomi kepada pembangunan era perniagaan norma baharu.

“Ekonomi digital sama ada dalam e-dagang, pembayaran tanpa tunai, penghantaran tanpa sentuh dan data besar akan memainkan peranan penting dalam sektor sokongan komuniti yang masih dibelenggu oleh bahaya penularan wabak Covid-19,” jelas Abdul Hadi.

Sementara itu, Pengarah MPC Sarawak Sarimah menyambut baik cadangan untuk jalinan kerjasama bersama SEDC yang boleh memberi impak positif kepada keduadua organisasi itu.