KUCHING: Galeri Hoan, ruang seni terkemuka di Sarawak, berhasrat menyokong sektor pelancongan negeri dengan menjalinkan kerjasama bersama pempamer antarabangsa serta menganjurkan kem seni yang melibatkan perjalanan artis dari Miri hingga ke Kuching.
Pengarahnya, Hoan Kee Huang berkata, beberapa kurator seni dari Taiwan baru-baru ini menghubungi pihak galeri untuk mendapatkan maklumat mengenai kemungkinan menganjurkan pameran karya seni yang diinspirasikan oleh keindahan tropika Sarawak.
Menurutnya, perbincangan tersebut masih berada pada peringkat awal, namun beliau berharap keunikan flora dan fauna Sarawak dapat diketengahkan dalam satu pameran di Taiwan pada masa hadapan.
“Saya berharap dapat membawa keindahan alam semula jadi Sarawak ke sebuah pameran di Taiwan.
Buat masa ini saya tidak dapat mendedahkan terlalu banyak perkara, tetapi kami optimistik,” katanya ketika merasmikan pameran pembukaan musim Galeri Hoan, baru,-baru ini.
Tambah beliau, minat daripada pihak Taiwan itu turut mempengaruhi perancangan galeri bagi tahun ini, khususnya dalam memanfaatkan sektor pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia.
Sehubungan itu, beliau bersama beberapa persatuan seni sedang merancang penganjuran kem seni peringkat negeri yang dijangka berlangsung pada pertengahan tahun ini, melibatkan kira-kira 20 artis yang akan menjelajah dari Miri ke Kuching untuk menghasilkan karya berinspirasikan Sarawak.
Sementara itu, pameran pembukaan musim bertajuk Fragments: Perceptions of Sarawak menampilkan pameran bersama enam artis termasuk Lee Choon Kooi, 76, dari Kedah, pengukir Borneo, M. Shazy, 30, serta pelukis minyak Brandon Ritom, 36.
Pameran tersebut turut menampilkan karya baharu oleh pelukis cat air kelahiran Sarawak yang kini menetap di Singapura, Marvin Chew, 51.
Majlis pembukaannya mendapat sambutan ratusan pengunjung termasuk penulis, ahli akademik, pegawai bank serta seorang pesara Cawangan Khas yang menjadi subjek sesi lukisan potret secara langsung.
Pesara tersebut, DSP Peter Lim Chian Seng yang pernah berkhidmat ketika era pemberontakan komunis di Sarawak antara 1962 hingga 1990, dilaporkan tersentuh melihat potret yang dihasilkan.
Semua karya dalam pameran itu ditawarkan untuk jualan dan kemasukan adalah percuma.



