KUCHING: Empat penyampai berita TVS tampil membuat laporan polis susulan gambar mereka digunakan tanpa kebenaran oleh syarikat pinjaman wang tanpa lesen atau ah long.
Salah seorang daripada mereka yang dihubungi berkata, beliau menyedari gambar mereka digunakan oleh pihak tersebut sebagai iklan pinjaman wang di dalam Facebook.
Sehubungan itu, mereka tampil membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Maong, pada jam 10.30 pagi semalam untuk tindakan lanjut pihak polis.
Jelasnya, gambar yang disalahgunakan oleh pihak tersebut telah mencemarkan reputasi mereka.
Malah tambahnya, ia turut mencalarkan nama syarikat tempat mereka bekerja yang merupakan syarikat penyiaran milik negeri.
Selain itu, katanya, ia juga menimbulkan salah faham dan dikaitkan secara salah dengan aktiviti pemberi pinjaman wang dalam kalangan orang ramai.
Justeru beliau, mengingatkan orang ramai agar berwaspada dan tidak terpedaya dengan iklan yang menggunakan wajah mereka dalam pinjaman wang tersebut.




