KUCHING: Gandingan M. Othman-Azam Sulai dan Suriani Sapuan-Shamsiah Lebok merangkul gelaran juara kategori lelaki dan wanita pada Pertandingan Pickleball Tertutup Kampung Semariang Jaya Fasa 2 (SJF2) dan Wawasan Jaya 2026 yang berlangsung di Kampung SJF2, di sini.
M. Othman dan Azam Sulai menewaskan Maszehar Edi Wahab-Zul Hazmi Mohammad 15-13, 15-12 pada aksi final lelaki, manakala Suriani dan Shamsiah mengatasi Dayang Junian Baron-Nur Alam 15-9, 15-14 dalam final wanita.

Rosli Akup-Zulkhaliq Affendy menduduki tempat ketiga kategori lelaki selepas menewaskan pasangan lawan 15-13, 13-15, 15-5, manakala Rena John-Rosiah Yusuf meraih tempat ketiga kategori wanita menerusi kemenangan 15-12, 15-7.
Juara setiap kategori menerima wang tunai RM300 dan hamper, manakala naib juara membawa pulang RM200 serta hamper, sementara tempat ketiga menerima RM100 dan hamper.
Pengerusi Program, Sabudin Che Rose berkata, penganjuran pertandingan itu bukan sahaja memberi ruang kepada penduduk mengembangkan minat dalam sukan pickleball, malah menggalakkan gaya hidup sihat dan mengeratkan hubungan antara penduduk SJF2 dan Wawasan Jaya.

“Program ini menjadi platform untuk mempertemukan penduduk daripada kedua-dua kawasan dalam suasana yang santai dan harmoni,” katanya.
“Ini juga menjadi usaha memperkasakan fungsi KRT sebagai penggerak aktiviti yang memberi manfaat kepada komuniti yang aktif, harmoni dan bersatu padu,” jelasnya.
“Melalui interaksi dan pelibatan bersama dalam pertandingan, hubungan silaturahim serta semangat kejiranan dapat diperkukuhkan,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.
Menurutnya, pertandingan itu turut menyemai nilai kesukanan, kerjasama, disiplin, sikap saling menghormati dan persaingan secara sihat dalam kalangan peserta.
“Diharap pertandingan ini dapat diteruskan secara lebih terancang dan berkala pada masa akan datang, selain menarik penyertaan lebih ramai golongan belia, remaja dan komuniti setempat,” ujarnya.
“Pada masa sama, ia menjadi medan untuk mencungkil bakat baharu dalam sukan pickleball selain memperkasakan fungsi KRT sebagai penggerak aktiviti kemasyarakatan,” tambahnya.
Katanya, minat terhadap pickleball juga diharap terus berkembang sehingga dapat menjadi asas kepada penganjuran aktiviti sukan dan rekreasi yang lebih besar.
Pertandingan anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung SJF2 sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69 itu berlangsung dari 22 Ogos hingga 16 September lalu dengan penyertaan 32 peserta, membabitkan 10 beregu lelaki dan enam beregu wanita.
Aktiviti kemuncak program dimulakan dengan senamrobik pada jam 7.30 pagi sebelum diteruskan dengan perlawanan separuh akhir dan final yang berakhir pada tengah hari.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ketua Kaum Kampung SJF2, Harry Nuruddin.


