BAU: Projek menaik taraf paip HDPE bersaiz 255 milimeter (mm) sepanjang 10.1 kilometer (km) dari simpang lampu isyarat Bau ke Stesen Pam Penjiru kini dalam fasa akhir penyediaan tender bagi mengatasi isu gangguan bekalan air terawat yang sudah berlarutan sejak Disember 2024.
Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut), Datuk Henry Harry Jinep berkata, projek bernilai RM7 juta itu dijangka akan dibuka ditender pada Julai dan mula dilaksanakan pada September ini, dengan tempoh siap dijangka dalam masa enam bulan.
“Masalah ini telah memberi kesan besar kepada 2,144 rumah melibatkan kira-kira 7,000 penduduk, termasuk di Stass, Serikin, Gumbang, Tringgus dan kawasan sekitarnya, terutamanya ketika musim perayaan seperti Hari Gawai dan Hari Krismas,” katanya.
Beliau yang juga ADUN Tasik Biru berkata demikian dalam sesi taklimat penyelarasan berhubung isu gangguan bekalan air terawat di kawasan Jagoi dan Bratak dalam Daerah Bau, di Pejabat Daerah Bau, di sini, hari ini.
Antara punca gangguan bekalan air ialah peningkatan jumlah penduduk apabila ramai pulang ke kampung semasa perayaan menyebabkan tekanan dalam sistem paip sedia ada meningkat, sekali gus mengakibatkan kebocoran.
“Apabila berlaku kebocoran paip, sukar untuk mengesan lokasinya kerana ia berlaku di bawah tanah, dan ini menjejaskan capaian air terawat kepada penduduk,” ujarnya.
Selain itu, beliau menjelaskan bahawa hanya terdapat satu sistem paip ketika ini, dan ia telah mencapai kapasiti maksimum berikutan pertambahan penduduk serta pelaksanaan projek pembangunan baharu.
“Projek pembangunan seperti pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Serikin serta pembinaan rumah baharu di kampung-kampung hasil daripada projek jalan raya seperti Pan Borneo dijangka menyumbang kepada pertumbuhan pesat kawasan ini.
“Sudah tentu, apabila berlaku pertumbuhan seperti ini, keperluan untuk meningkatkan kapasiti sistem bekalan air semakin mendesak,” jelasnya.
Justeru, katanya, projek paip baharu ini akan berfungsi sebagai saluran alternatif di sebelah kanan yang akan menyalurkan air ke Stesen Pam Penjiru.
“Dengan adanya paip kedua, kita akan mempunyai dua saluran. Jika satu ditutup atau mengalami kebocoran, satu lagi masih boleh menyalurkan air,” ujarnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak serta agensi pelaksana, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), atas kelulusan segera projek tersebut dan usaha berterusan menangani isu di lapangan.
“Pada masa ini, pengesanan kebocoran paip secara aktif, kerja-kerja pembaikan paip, penghantaran air ke kawasan terjejas dan pemasangan ‘logger’ untuk memantau tekanan serta aliran air sedang giat dijalankan bagi meningkatkan capaian air terawat kepada penduduk,” jelasnya.

