Pingat gangsa dalam acara Individu All-Around pada Sukan SEA 2025 menjadi hadiah terakhir Ng Joe Ee buat negara, sekali gus menutup tirai karier kompetitif gimnas negara itu dengan penuh emosi.
Menurutnya, persembahan terakhir tersebut hadir bersama perasaan kecewa, tekanan dan kelegaan dalam satu masa.
Beraksi di Gimnasium Universiti Thammasat hari ini, Joe Ee berkata sasaran asalnya adalah pingat emas, namun kesilapan pada rutin pertama telah menjejaskan peluang itu.
“Rutin aparatus pertama tidak berjalan seperti dirancang dan itulah detik paling mengecewakan buat saya.
“Tetapi tiga rutin seterusnya saya lakukan dengan lebih baik dan berjaya mengejar semula markah,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian pingat.
Bagaimanapun, katanya, usaha tersebut hanya mampu menghadiahkan pingat gangsa apabila kedudukan tempat ketiga dikongsi bersama wakil tuan rumah Thailand selepas kedua-duanya terikat jumlah mata keseluruhan.
Mengulas persembahan terakhirnya, Joe Ee mengakui ia bukan yang terbaik, namun beliau berpuas hati dengan persembahan reben yang lebih stabil berbanding keseluruhan musim pertandingan tahun ini.
Menurutnya, tekanan berlebihan dan rasa gementar menjadi punca utama kesilapan awal yang dilakukan.
“Saya terlalu stres dan terlalu fokus kepada sasaran.
“Saya banyak berfikir kerana menganggap ini penampilan terakhir dan perlu sempurna. Itu sebenarnya tidak baik,” katanya.
Joe Ee turut menjelaskan bahawa peningkatan usia serta kecenderungan untuk berfikir secara berlebihan memberi kesan besar terhadap konsistensi persembahannya.
Sehubungan itu, beliau mengesahkan keputusan untuk bersara daripada arena kompetitif dan beralih kepada peranan jurulatih bermula tahun hadapan, namun bukan bersama pasukan kebangsaan.
“Keputusan bersara juga didorong oleh faktor kecederaan berpanjangan.
“Selain itu, memang terdapat kekangan masa untuk menjalani rawatan fisioterapi di Institut Sukan Malaysia akibat jadual latihan yang padat,” jelasnya.
Walaupun masih berusia 20 tahun, Joe Ee menegaskan keputusan tersebut dibuat atas faktor kesihatan dan bukannya usia.
“Sakit belakang saya sudah ada sejak Sukan Komanwel dulu.
“Sekarang buku lali, leher, bahagian atas dan bawah belakang pun sakit. Badan memang tak boleh tahan lagi,” katanya.
Menurutnya, walaupun terdapat gimnas Malaysia yang mampu bertahan sehingga usia 24 atau 25 tahun, keupayaan fizikal setiap atlet adalah berbeza.



