BANGKOK: Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tiba di sini hari ini bagi misi dua hari untuk mengetengahkan agenda tenaga bersih Sarawak.
Premier tiba di ibu negara Thailand itu pada 13 September sebelum sampai di hotel kira-kira 5.20 petang dan disambut anggota delegasi Sarawak bagi program padat yang memberi tumpuan kepada Gastech 2026, persidangan tenaga terkemuka dunia.
Pada sebelah malam, Abang Johari dijadualkan menghadiri taklimat bersama-sama delegasi negeri untuk memuktamadkan pelibatan Sarawak dalam persidangan antarabangsa itu selepas menghadiri majlis makan malam rasmi.
Lawatan kerja beliau akan mencapai kemuncak pada 15 September menerusi siri pertemuan peringkat tinggi dan sesi pengucapan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Bangkok (BITEC) yang menghimpunkan menteri, pembuat dasar serta pemimpin industri bagi membincangkan keselamatan tenaga global dan usaha penyahkarbonan.
Sebelum ke lokasi persidangan, Premier dijadual mengadakan pertemuan hormat dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global dan pengasas Indorama Ventures Public Company Limited di The Ritz-Carlton, Bangkok sekali gus mencerminkan komitmen Sarawak dalam membina kerjasama strategik dengan pemain industri global.
Pada Gastech 2026, Abang Johari akan menyertai meja bulat menteri secara tertutup bersama-sama menteri dan pemimpin kanan sektor tenaga dari seluruh dunia.
Beliau turut menyampaikan Energy Talk bertajuk ‘Growth, Abundance and the Courage to Decarbonise’, yang mengetengahkan strategi Sarawak untuk mengejar pertumbuhan ekonomi sambil memperkukuh pembangunan rendah karbon menerusi tenaga boleh diperbaharui dan perindustrian mampan.
Program Premier akan diakhiri dengan sesi bual bicara secara santai (fireside chat) dan sidang media sebelum beliau berlepas pulang ke Kuching.
Memasuki edisi ke-54, Gastech 2026 dijangka menarik lebih 50,000 peserta dari 150 negara pada 14 hingga 17 September.
Persidangan itu menampilkan dialog peringkat menteri, meja bulat dasar, pelancaran platform AixEnergy berkuasakan kecerdasan buatan (AI), selain pameran oleh lebih 1,000 syarikat yang mengetengahkan inovasi dalam bidang gas asli cecair (LNG), hidrogen, teknologi iklim dan penyelesaian pengurangan karbon.

