PUSA: Sambutan Gawai dan Raya yang diraikan serentak berjaya mengetengahkan unsur dua budaya berbeza dalam satu acara menunjukkan keunikan yang ada di negeri ini.
Ahli Parlimen Batang Lupar Dato’ Sri Rohani Abdul Karim memberitahu, pada tahun ini Gawai Dayak dan Hari Raya Aidilfitri disambut cuma selang beberapa hari menjadikan musim perayaan yang secara kebetulan jatuh pada cuti sekolah lebih meriah.
“Sarawak sememangnya unik. Masa itu kita beraya, masa itu juga kita bergawai. Kelihatan masyarakat bergaya dengan pakaian tradisional masing-masing.
“Inilah budaya masyarakat Sarawak yang harus kita kekalkan dan perpaduan yang terjalin selama ini juga harus dipelihara.
“Bagi saya, Majlis Sambutan Gawai dan Raya Peringkat Dun Beting Maro kali ini begitu meriah. Saya harap dapat menggembirakan semua pihak dan bersama merasai nikmatnya beraya,” katanya merasmikan majlis tersebut, malam semalam.
Beliau dalam pada itu menjelaskan, dia sebagai Ahli Parlimen yang mewakili GPS sentiasa memberikan komitmen terbaik untuk rakyat.
“Saya faham, tidak semua yang kita lakukan dapat memuaskan hati semua pihak.
“Walau bagaimanapun, saya berusaha memberi perkhidmatan yang terbaik… sedaya-upaya, demi kemajuan dan kesejahteraan bersama,” ujarnya.
Rohani terdahulu menyampaikan sumbangan RM112,000 kepada 10 masjid bagi tujuan Program Ibadah Korban 2019 untuk Dun Beting Maro.
Menurutnya, dengan adanya sumbangan ini membolehkan pihak masjid selaku pengelola membuat persiapan awal menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha nanti.
Hadir sama Adun Beting Maro Razaili Gapor dan isteri, Aisyah Rohani Nahar, Pegawai Daerah Pusa Bujang Budin, Pemanca Daerah Pusa Awang Raziee Awang Mohd. Zain, ketua-ketua masyarakat dan kaum serta jabatan.


