KUCHING: Sambutan Hari Gawai Dayak terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh pembinaan bangsa Sarawak berasaskan perpaduan, kestabilan dan kemakmuran.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, Gawai Dayak merupakan simbol kekayaan budaya dan tradisi masyarakat Dayak yang bukan sahaja meraikan hasil tuaian tetapi juga mengukuhkan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negeri ini.
“Gawai Dayak bukan sekadar perjumpaan keluarga atau pulang ke rumah panjang, tetapi turut menjadi wadah yang menyatukan rakyat Sarawak dalam semangat kebersamaan dan saling menghormati.
“Inilah contoh terbaik pembinaan bangsa Sarawak yang perlu terus diperkukuhkan kerana perpaduan adalah asas kepada kestabilan, manakala kestabilan pula menjadi pemangkin kepada kemakmuran,” katanya dalam Perutusan Hari Gawai Dayak 2026.
Menurut beliau, perayaan tersebut turut menjadi wadah yang menyatukan seluruh anak Sarawak tanpa mengira latar belakang untuk saling menghormati, berinteraksi dan meraikan kepelbagaian budaya yang menjadi kekuatan utama negeri ini.
Beliau berkata, kejayaan yang dikecapi Sarawak hari ini membolehkan negeri ini menjadi contoh kepada banyak pihak dan semakin dipandang tinggi berbanding sedekad lalu.
“Perubahan positif hasil perancangan pembangunan yang berterusan serta kestabilan politik telah menjadikan Sarawak sebuah negeri yang semakin dihormati dan menjadi kebanggaan rakyatnya.
“Anak-anak Sarawak di perantauan diharap turut memainkan peranan dengan menyumbang idea, kepakaran dan tenaga bagi meneruskan agenda pembinaan bangsa serta pembangunan negeri.
“Apabila pulang ke Sarawak, lihatlah sendiri perubahan yang telah berlaku dan fikirkan bagaimana anda boleh memainkan peranan untuk membantu menjadikan Sarawak lebih maju pada masa hadapan,” ujarnya.

