ARTIKEL

Gawai Enggau Aki angkat warisan Iban ke layar TVS

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Filem pendek bertemakan budaya masyarakat Iban, Gawai Enggau Aki, bakal menemui penonton menerusi siaran di TVS sempena sambutan Hari Gawai Dayak, pada jam 6.45 petang Isnin ini.

Diterbitkan oleh Ensera Creatives dan diarahkan oleh Sydney Atin, karya tersebut mengetengahkan nilai kekeluargaan, identiti masyarakat Iban, serta kepentingan memelihara adat dan tradisi agar terus diwarisi generasi muda.

Filem ini mengisahkan Kelly, seorang kanak-kanak perempuan yang pulang ke rumah panjang keluarganya menjelang sambutan Gawai Dayak dengan semangat untuk mempelajari budaya tradisional masyarakat Iban. Namun, minat Kelly tidak dipersetujui oleh bapanya dan sebahagian penduduk rumah panjang yang menganggap amalan tradisi semakin tidak relevan pada masa kini.

Dalam usahanya mempertahankan warisan budaya, Kelly dibimbing datuknya untuk mempelajari permainan engkromong sebelum menubuhkan kumpulan taboh bersama kanak-kanak kampung secara rahsia. Persembahan mereka pada malam menjelang Gawai akhirnya berjaya menyatukan semula penduduk rumah panjang.

Pelakon cilik Esra Athalia Inndu memegang watak utama sebagai Kelly, manakala Maclean Patrick membawa watak Aki (datuk kepada Kelly) dan Julai Billie sebagai Mark (bapa kepada Kelly).

Menurut pengarah Sydney Atin, idea menghasilkan filem itu tercetus daripada persoalan mengenai identiti masyarakat Iban dan bagaimana budaya diwariskan melalui hubungan kekeluargaan serta pengalaman hidup seharian. Beliau mahu menghasilkan karya yang dekat dengan realiti kehidupan masyarakat Iban dan bukan sekadar menampilkan keindahan visual semata-mata.

“Saya mahu penonton benar-benar merasai jiwa dan emosi yang terkandung dalam cerita ini,” katanya.

Penggambaran filem tersebut dijalankan di Saratok dengan kerjasama komuniti rumah panjang tempatan, termasuk penduduk Rumah Jenalius Unchie di Sungai Brangan Panjai dan Rumah Thomas Sigat di Sungai Brangan Babas Mali.

Sementara itu, penerbit barisan dan pengurus produksi, Dr. Ashweein Narayanan, berkata walaupun berdepan pelbagai cabaran sepanjang penggambaran, semangat kerjasama erat dalam kalangan kru dan penduduk berjaya memastikan proses produksi berjalan lancar dalam suasana penuh kemesraan dan keceriaan.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU