Gawai lebih bercahaya di Rumah Panjang Musa

MERADONG: Sejumlah RM70,000 peruntukan daripada Kerajaan Sarawak melalui Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi memastikan penduduk di Rumah Panjang Musa, Sungai Rayah menikmati bekalan elektrik mencukupi.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada pembentangan Bajet 2019 tahun lepas memperuntukkan sebanyak RM11.91 bilion dan RM6.05 bilion daripadanya diperuntukkan bagi pembangunan luar bandar.

Adun Meradong Datuk Ding Kuong berkata, bajet 2019 Sarawak diumumkan Ketua Menteri itu mengutamakan pembangunan luar bandar dengan menampakkan keberkesanannya.

“Penduduk di Rumah Panjang Musa kini sudah mempunyai bekalan elektrik untuk keperluan harian.

“Ini membuktikan bahawa apa yang diumumkan Abang Johari semasa pembentangan Bajet 2019 tahun lepas benar-benar memberi manfaat kepada penduduk di kawasan luar bandar.

“Saya berasa gembira melihat Rh Musa akhirnya sudah mempunyai bekalan elektrik,” jelasnya pada majlis perasmian Bekalan Elektrik di Rh Musa, Sg Rayah di sini semalam.

Ding Kuong menambah, Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) juga merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak untuk membangunkan kawasan luar bandar.

“Abang Johari tetap meneruskan hajat Allahyarham Tok Nan agar setiap Adun di bawah GPS dapat memanfaatkan peruntukan berkenaan untuk menyelesaikan masalah setempat khasnya bekalan elektrik dan air,” ujarnya.

Suara Sarawak