ARTIKEL

Gaya kepimpinan Tun Abdullah matang dan penuh keikhlasan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Tun Abdullah Ahmad Badawi dikenang sebagai seorang pemimpin yang tenang, berjiwa rakyat, dan sentiasa membawa pendekatan sederhana tetapi penuh makna dalam mengurus negara.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkongsi pandangannya, menyatakan bahawa bekas Perdana Menteri kelima itu memainkan peranan besar dalam menerajui negara semasa zaman Barisan Nasional (BN).

“Waktu zaman beliau, BN menang besar pada PRU 2004. Kita semua tahu, beliau memang seorang pemimpin yang baik dan diterima ramai,” katanya ketika ditemui media di sini, hari ini.

Menurut Abdul Karim, walaupun Allahyarham bukan jenis pemimpin yang suka menonjol atau lantang bercakap, gaya kepimpinan beliau yang matang dan penuh hemah membuatkan ramai menghormatinya.

“Tun Abdullah mungkin bukan pemimpin yang banyak bercakap, tetapi apa yang beliau lakukan sebagai Perdana Menteri menunjukkan komitmen yang tinggi dan keikhlasan dalam memimpin negara,” tambahnya.

Namun begitu, Abdul Karim turut menyatakan rasa sedih apabila mengenang bagaimana ada pihak yang cuba menggugat kepimpinan Allahyarham ketika beliau masih mentadbir.

“Sayang sekali, waktu beliau masih berkhidmat, ada yang tidak henti-henti ingin menjatuhkan beliau. Akhirnya, kita kehilangan lima negeri kepada pembangkang. Sejak itu, suasana politik pun berubah, tidak sama macam dulu,” jelasnya.

Beliau turut menyentuh suasana politik hari ini yang menurutnya lebih banyak dipenuhi dengan perbalahan daripada perbincangan yang membina.

“Sekarang ini politik asyik bergaduh sana-sini. Keadaan seperti ini tidak membantu untuk kestabilan negara,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Abdul Karim menzahirkan penghargaan atas segala sumbangan yang telah Allahyarham berikan kepada negara, dan mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat.

Tun Abdullah Ahmad Badawi menghembuskan nafas terakhir pada usia 85 tahun semalam dan akan terus dikenang sebagai tokoh yang memperkenalkan konsep Islam Hadhari serta memperkukuh pelbagai dasar penting negara.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU