KUCHING: Bantuan orang ramai dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) menyelamatkan Azimah Zainal Abidin dan empat orang anaknya daripada terus menjadi gelandangan.
Lima beranak tersebut kini tinggal sementara di Anjung Singgah, Satok hasil bantuan orang ramai sejak 28 April lalu.
Sebelum ini, Azimah, 31, dan dua orang anaknya yang berusia dua dan satu tahun ditemui berteduh berhampiran sebuah masjid sebelum perkara tersebut dimaklumkan oleh orang awam kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS).
Sementara itu, dua orang lagi anaknya yang berusia 11 dan 8 tahun sedang dijaga sementara oleh kakaknya di Kota Samarahan.
“Saya bersama-sama dengan dua anak bergelandangan di kawasan masjid Bahagian Kuching setelah bercerai dengan suami pada Januari lalu,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.
Menurutnya, setelah bercerai dia tinggal sementara di rumah ibu bapanya di Samariang namun keadaan rumah sempit menyebabkan mereka sekeluarga kurang selesa.
“Kami menumpang sementara di rumah ibu bapa saya, sebelum saya mengambil keputusan untuk keluar kerana saya faham keadaan rumah yang kecil pasti tidak dapat menampung kami semua,” ujarnya.
Azimah menjelaskan, setelah memegang status ibu tunggal dia tidak lagi mendengar khabar berita mengenai bekas suami dan bapa kepada anak-anaknya itu.
“Saya tidak tahu di mana dia (bekas suami) berada ketika ini, tetapi saya yakin dia mempunyai pekerjaan,” ujarnya sambil memberitahu setelah bercerai, bekas suaminya tidak pernah mengirim wang perbelanjaan.
Mencerita lanjut, Azimah berkata, sepanjang bersuami isteri, dua orang anaknya yang berusia 11 dan 8 tahun tidak pernah bersekolah.
“Dua orang anak saya tidak bersekolah. Bekas suami saya tidak mengurus persekolahan mereka berdua… jadi, selama ini mereka tidak pernah menjejak kaki ke sekolah,” ujarnya sayu.
Dalam pada itu, Azimah berterima kasih kepada JKMS kerana membantunya mengurus pendaftaran sekolah dua orang anak
dan bilik sewa terdekat dengan sekolah. “Setelah keadaan reda kelak, saya berhasrat untuk menjalankan perniagaan kecil-kecilan seperti membuat cucur untuk dijual bagi menampung perbelan- jaan kami,” katanya.
Di Anjung Singgah Satok, Azimah telah menerima sumbangan daripada NGO yang prihatin sempena Hari Raya Aidilfitri se perti susu tepung dan lampin bayi untuk anak-anaknya.
Pada masa yang sama, beliau menerima bantuan bulanan dari- pada JKMS dan Baitulmal.
Pada malam 28 April lalu, Azimah dan anak-anaknya telah dihantar oleh JKMS ke Anjung Singgah, Satok dan kini sudah memasuki dua bulan mereka menumpang sementara di pusat berkenaan.