BEBERAPA hari lalu, saya menonton satu rakaman tular yang memaparkan penduduk di Eropah berebut-rebut membeli penyaman udara.
Jika suatu ketika dahulu penyaman udara dianggap bukan keperluan utama bagi kebanyakan penduduk Eropah, keadaan itu kini semakin berubah.
Gelombang haba yang melanda beberapa negara di benua itu menyebabkan orang ramai mula berpusu-pusu mendapatkan penyaman udara dan kipas elektrik sehingga ada premis dilaporkan kehabisan stok.
Rakaman situasi tersebut turut tular di media sosial, sekali gus menggambarkan cuaca panas melampau mula mengubah rutin harian masyarakat.
Terbaharu, selepas membadai Sepanyol, Portugal, Perancis dan Itali, gelombang haba bergerak ke arah timur, melibatkan Jerman, Poland serta beberapa negara Eropah Tengah.
Sebelum ini, ramalan suhu mencecah sekitar 35 hingga 40 darjah Celsius menyebabkan pihak berkuasa mengeluarkan amaran kesihatan, terutama kepada warga emas, kanak-kanak dan individu yang mempunyai penyakit kronik.
Dan semalam, Perancis memaklumkan sekitar 1,000 kematian direkodkan sepanjang gelombang haba luar biasa itu.
Namun hakikatnya, fenomena ini bukan lagi sesuatu yang luar biasa. Sebaliknya, ia semakin kerap berlaku sehingga pakar iklim menyifatkannya sebagai antara kesan paling jelas akibat perubahan iklim.
Cuaca yang dahulunya dianggap ekstrem kini semakin menghampiri kebiasaan.
Bagi masyarakat di Asia, memiliki penyaman udara mungkin sudah menjadi perkara biasa kerana cuaca panas sepanjang tahun.
Namun, di banyak negara Eropah, iklim yang sederhana sebelum ini menyebabkan ramai tidak merasakan keperluan untuk memasangnya di rumah. Tetapi kini, keadaan berubah.
Musim panas yang semakin membahang memaksa ramai menyesuaikan gaya hidup, termasuk melabur dalam peralatan penyejukan bagi memastikan kediaman kekal selesa.
Perubahan itu mungkin kelihatan kecil, tetapi sebenarnya membawa mesej yang besar. Apabila sebuah benua yang terkenal dengan musim panas sederhana mula bergelut menghadapi suhu melampau, ia memberi gambaran bahawa perubahan iklim bukan lagi ancaman masa depan, sebaliknya sedang berlaku di depan mata.
Menurut pakar, gelombang haba kali ini berpunca daripada sistem tekanan tinggi yang memerangkap udara panas di atmosfera.
Pada masa sama, udara panas dari Afrika Utara bergerak ke Eropah, menyebabkan suhu meningkat dengan ketara.
Lebih membimbangkan, suhu pada waktu malam juga kekal tinggi, sekali gus menghalang tubuh manusia menyejuk secara semula jadi selepas seharian terdedah kepada cuaca panas.
Keadaan ini meningkatkan risiko strok haba, dehidrasi dan komplikasi kesihatan lain. Hospital di beberapa negara juga bersiap siaga menghadapi kemungkinan peningkatan pesakit yang mengalami masalah berkaitan haba, terutama dalam kalangan golongan rentan.
Namun, kesannya tidak terhad kepada aspek kesihatan. Sektor pertanian turut menerima tempias apabila cuaca panas berpanjangan menyebabkan tanah menjadi semakin kering.
Kelmarin, pandangan berkenaan isu cuaca panas melampau turut dikongsi Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika beliau berucap dalam Program Sarawakku Sayang di Kapit, menegaskan cuaca panas turut memberi kesan kepada sektor pertanian.
Kenyataan itu mengingatkan bahawa perubahan iklim bukan sekadar isu alam sekitar, malah memberi implikasi langsung kepada keselamatan makanan dan ekonomi.
Sebab itu Kerajaan Sarawak turut mengambil peranannya dalam menjayakan agenda pembangunan hijau sebagai sebahagian usahanya dalam mengurangkan risiko perubahan iklim.
Dan dalam pertanian global, cuaca panas juga menyebabkan tanaman gandum, jagung dan anggur berdepan risiko kekurangan air, sekali gus menjejaskan hasil tuaian.
Jika keadaan ini berlarutan, ia bukan sahaja menjejaskan pendapatan petani, malah mempengaruhi bekalan makanan dan harga komoditi di peringkat global.
Dalam masa sama, permintaan terhadap tenaga elektrik turut meningkat apabila semakin ramai menggunakan penyaman udara dan alat penyejukan.
Situasi ini memberi tekanan kepada sistem bekalan elektrik, terutama ketika banyak negara Eropah sedang berusaha mengurangkan pelepasan karbon dan beralih kepada sumber tenaga yang lebih bersih.
Ironinya, penyelesaian kepada cuaca panas boleh menjadi sebahagian daripada masalah itu sendiri.
Semakin banyak penyaman udara digunakan, semakin tinggi permintaan tenaga. Jika tenaga tersebut masih bergantung kepada bahan api fosil, pelepasan karbon turut meningkat.
Akibatnya, pemanasan global terus meningkat dan gelombang haba menjadi semakin kerap. Keadaan ini seolah-olah membentuk satu kitaran yang sukar diputuskan.
Cuaca panas melampau turut meningkatkan risiko kebakaran hutan. Negara seperti Greece, Portugal, Sepanyol dan Itali hampir setiap tahun berdepan ancaman kebakaran apabila suhu meningkat dan kelembapan udara menurun.
Dalam keadaan sedemikian, api lebih mudah merebak sehingga memusnahkan kawasan hutan, ladang dan penempatan penduduk. Situasi yang berlaku di Eropah ini sebenarnya membawa pengajaran kepada seluruh dunia, termasuk negara kita dan khususnya di Sarawak.
Memang benar, negara kita sudah biasa dengan cuaca panas dan lembap, namun perubahan iklim tidak mengenal sempadan.
Kenaikan suhu global boleh menyebabkan kejadian cuaca ekstrem seperti gelombang haba, kemarau dan banjir berlaku dengan lebih kerap di pelbagai rantau.
Oleh itu, usaha menyesuaikan diri dengan perubahan iklim tidak lagi boleh ditangguhkan.
Perancangan bandar yang lebih hijau, pemeliharaan kawasan tadahan air, penggunaan tenaga yang lebih cekap serta pengurangan pelepasan karbon perlu diperkasakan agar masyarakat lebih bersedia menghadapi cuaca ekstrem pada masa hadapan.
Gelombang haba yang sedang melanda Eropah bukan sekadar kisah suhu yang meningkat. Tetapi ia adalah amaran bahawa perubahan iklim bukan lagi cerita masa depan, sebaliknya realiti yang sedang kita hadapi hari ini.
Persoalannya bukan lagi sama ada perubahan itu akan berlaku, tetapi sejauh mana kita bersedia menghadapinya?



