ARTIKEL

SUNYI...Penjaja jalanan menunggu pelanggan di ibu kota Laos, Vientiane. Laos berdepan kesan paling ketara dengan kadar inflasi 10.2 peratus, diikuti Vietnam 5.46 peratus, Kemboja 5.79 peratus dan Thailand 2.89 peratus.-AFP

Gelombang inflasi landa Mekong

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PHNOM PENH: Jutaan pengguna di seluruh wilayah Mekong terkesan dengan peningkatan kos sara hidup apabila inflasi yang melonjak menjejaskan pendapatan harian mereka.

Harga makanan, bahan api, pengangkutan, pendidikan, elektrik dan gas memasak semuanya meningkat susulan konflik Asia Barat yang tercetus sejak 28 Februari lalu.

European Chambers of Cambodia dalam kenyataan media terbaharunya menyatakan bahawa pemacu utama keadaan itu ialah konflik berterusan di Asia Barat, yang mendorong kenaikan harga tenaga global dan mengganggu rantaian bekalan.

“Inflasi dijangka kekal tinggi di seluruh rantau ini dalam jangka pendek hingga sederhana.

“Bagi perniagaan di Kemboja, data menunjukkan tekanan berterusan terhadap kos input, perbelanjaan operasi dan kuasa beli pengguna dalam beberapa bulan akan datang,” menurut badan perdagangan yang berpangkalan di Phnom Penh itu.

Inflasi turut menjejaskan naratif pertumbuhan ekonomi. 

Kemboja menyemak semula pertumbuhannya kepada 4.2 peratus tahun ini daripada lima peratus awal, terutamanya disebabkan oleh ketidakpastian geopolitik.

“Harga tenaga global yang lebih tinggi dijangka menjejaskan sektor utama yang bergantung kepada bahan api, termasuk pertanian, pengangkutan dan pelancongan, manakala inflasi boleh melemahkan perbelanjaan pengguna dan aktiviti ekonomi,” kata Menteri Ekonomi dan Kewangan Kemboja Aun Pornmoniroth minggu lepas, menurut portal dalam talian Fresh News.

Negara-negara di sekitar Sungai Mekong yang kaya dengan hasil pertanian mengalami peningkatan ketara tekanan inflasi pada April.

Laos berdepan kesan paling ketara dengan kadar inflasi 10.2 peratus, diikuti Vietnam 5.46 peratus, Kemboja 5.79 peratus dan Thailand 2.89 peratus.

Lebih 300 juta penduduk di rantau itu, kebanyakannya bergantung kepada pertanian dan perniagaan mikro, terperangkap dalam kitaran ketidaktentuan kewangan.

Bagi banyak keluarga yang hidup dengan pendapatan terhad, kenaikan indeks harga pengguna bukan sekadar angka, sebaliknya soal kelangsungan hidup harian.

Di sebuah perkampungan kecil petani di sepanjang Sungai Mekong, kenaikan harga bahan api bermakna petani perlu membayar lebih untuk mengangkut hasil tanaman ke pasar, manakala kos baja yang melonjak pula menghakis pendapatan yang sedia tidak menentu.

Di bandar-bandar pesat membangun dari Vientiane, Phnom Penh hingga Yangon – pertambahan penduduk bandar berdepan peningkatan kos sara hidup meliputi sewa, pendidikan, penjagaan kesihatan dan perjalanan harian, yang boleh memburukkan kemiskinan bandar.

Ramai yang sukar meneruskan kehidupan dengan pendapatan sekitar US$200 (RM794) sebulan, iaitu gaji minimum wajib di beberapa sektor ekonomi.

Menurut statistik serantau, semua barangan pengguna, daripada makanan siap dimasak dan sayur-sayuran segar hingga elektrik serta makan di luar, mencatat kenaikan.

The Laotian Times melaporkan harga penjagaan kesihatan dan ubat-ubatan di Laos melonjak 13.7 peratus, manakala kos pendidikan meningkat 12.3 peratus pada April.

Dalam ekonomi luar bandar yang banyak bergantung kepada pertanian dan perikanan, selain terus berdepan kesan perubahan iklim serta terdedah kepada bencana alam daripada taufan hingga gempa bumi, inflasi menambah satu lagi tekanan dalam kehidupan mereka yang sudah dibebani masalah kewangan.-Bernama

BERITA LAIN

Empat maut padam kebakaran hutan Bromo

JAKARTA: Empat orang maut manakala dua lagi melecur teruk selepas terperangkap dalam asap tebal dan api yang merebak dengan pantas ketika berusaha memadamkan kebakaran hutan

Rakyat protes dasar berat sebelah

BANGKOK: Ratusan penunjuk perasaan berhimpun berhampiran Pusat Konvensyen Nasional Queen Sirikit (QSNCC) pada Khamis bagi membantah dasar Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia yang

BERITA TERBARU