KETIKA mula terlibat dalam kesusasteraan; menulis dan mengarah teater ketika zaman persekolahan, muzik beliau merupakan gema yang sentiasa menjadi halwa telinga.
Elemen gendang, seruling dan irama uniknya, bagai menyuntik semangat perang, melakar imaginasi luar biasa.
Kerana itulah lagu-lagu seperti Matsuri dan Caravansary menjadi malar segar kepada generasi kami.
Itulah penangan Kitaro atau nama sebenarnya Masanori Takahashi, dalam irama muzik dunia. Justeru peluang menyaksikan “konsert kembara”nya secara live pada Jumaat lalu tidak disia-siakan.
Ternyata lelaki yang genap 71 tahun pada 4 Februari lalu gagah dan menghiburkan, dengan genre muzik new-agenya.
Terima kasih kepada Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) kerana membawa legenda ini beraksi di Bumi Kenyalang.
Nama “Kitaro” diberikan oleh rakan-rakan semasa awal kerjayanya. Ia berasal daripada watak dalam manga Jepun, bermaksud “lelaki yang ceria dan bahagia.”
Dilahirkan di Toyohashi, Aichi, Jepun dengan kedua-dua ibu dan bapanya merupakan petani tradisi yang taat akan agama; ShintoBuddha, Kitaro bermula dengan gitar elektrik, yang dipetik ketika berada di alam persekolahan.
Selepas zaman persekolahan, beliau melebarkan kemahirannya dengan memetik bass, memukul drum dan keyboard.
Sesuai dengan kegilaan dan trend ketika itu, beliau turut diresapi muzik rock dan soul Amerika.
Selepas tamat pengajian di Universiti Sahid, ibu bapanya menentang ideanya untuk membina kerjaya dalam bidang muzik.
Mereka mengatur beliau untuk bekerja di sebuah syarikat tempatan, namun secara senyap, Kitaro ponteng dan tidak turun kerja. Beliau kemudian berpindah ke Tokyo untuk mendalami minatnya terhadap muzik.
Pada awal 1970-an, Kitaro menyertai kumpulan rock progresif Jepun, Far East Family Band dan merakamkan empat album bersama mereka.
Pada tahun 1975, beliau bertemu dengan ahli electronica Jerman, bekas anggota Tangerine Dream, Klaus Schulze.
Schulze menghasilkan dua album untuk kumpulan itu dan mengajar Kitaro beberapa petua untuk mengawal synthesizer.
Pada 1976, Kitaro meninggalkan Far East Family Band dan mengembara ke China, Laos, Thailand, India.
Ketika inilah beliau menemui sentuhan ajaibnya, yang menggabungkan muzik dengan elemen synthesizer dan bunyi tradisional Asia.
Pada 1977, sekembalinya ke Jepun, Kitaro memulakan kerjaya solonya.
Pada tahun berikutnya, beliau menghasilkan album Ten Kai atau Astral Voyage manakala pada tahun 1979, menerbitkan Daichi.
Dalam tempoh ini juga, Kitaro mempersembahkan konsert simfoni pertamanya di Shinjuku, Tokyo.
Kitaro mendapat kemasyhuran antarabangsa pada tahun 1980-an apabila irama Silk Road digunakan sebagai runut bunyi untuk siri dokumentari NHK mengenai laluan sutera.
Silk Road: The Rise And Fall Of Civilizations merupakan siri dokumentari NHK Tokushu yang pertama kali disiarkan pada 7 April 1980, dengan sekuelnya disiarkan selama 10 tahun.
Meski berada dalam posisi berjaya, Kitaro sesuai dengan wataknya, memilih kehidupan di perdesaan dan menjalani kehidupan yang sederhana, dekat dengan alam semula jadi.
Dia menjadi penghuni pelbagai lokasi luar bandar, termasuk ladang di Colorado, Amerika Syarikat.
Pada 1984, Kitaro memulakan jelajah Live in Asia. Pun begitu beliau terpaksa membatalkan persembahan di Singapura kerana isu rambut panjang.
Setahun kemudian, Kitaro memasuki perjanjian album untuk edaran seluruh dunia dengan Geffen Records.
Ini termasuk penerbitan semula enam album sebelumnya; Ten Kai, Daichi, Millennia, India, Silver Cloud dan Live in Asia, selain album baru, Toward the West.
Pada 1987, beliau bekerjasama dengan Mickey Hart daripada Grateful Dead untuk album The Light of the Spirit, dan pada tahun 1992 dengan Jon Anderson (Yes) untuk album Dream.
Pada tahun 1988, jualan rekodnya meningkat kepada 10 juta di seluruh dunia berikutan kejayaan jelajah di Amerika Syarikat.
Pada tahun 1990, album studio Kojiki diterbitkan.
Pada 1993, runut bunyinya untuk filem Heaven & Earth memenangi Anugerah Golden Globe untuk Skor Asal Terbaik.
Kitaro juga menghasilkan album Scenes (1992) yang dikeluarkan oleh Shrapnel Records bersama-sama bekas pemain gitar Megadeth, Marty Friedman.
Kitaro terus sukses selepas itu dengan menghasilkan album seperti Mandala (1994); album Live An Enchanted Evening (1995), GaiaOnbashira (1998), dan Ancient (2001) — semuanya dicalonkan untuk Anugerah Grammy. Pada tahun 1999 Thinking of You memenangi Grammy untuk Album New Age Terbaik.
Album runut bunyi Kitaro dan Randy Miller, The Soong Sisters (2000) menerima Anugerah Muzik Asal Terbaik daripada Anugerah Filem Hong Kong (1998), selain Festival Filem dan Anugerah Golden Horse Taiwan (1997).
Selepas peristiwa 9/11, Kitaro memulakan projek menyatukan penduduk dunia menerusi Sacred Journey of Ku-Kai (2003). Ini adalah siri album bertemakan keamanan yang diilhamkan oleh ziarah Shikoku Henro – perjalanan Kūkai lebih daripada 1,100 tahun yang lalu.
Empat jilid siri album ini diterbitkan pada tahun 2003, 2005, 2007, dan 2011.
Setiap lagu dalam Sacred Journey Of Ku-Kai mengandungi sampel bunyi loceng kuil purba Jepun daripada 88 kuil suci di Pulau Shikoku, Jepun.
Pada tahun 2007, Kitaro menggubah muzik untuk Impression West Lake sebuah opera berskala besar, diarahkan oleh pengarah filem terkenal China, Zhang Yimou.
Opera ini menceritakan sejarah dan budaya bandar Hangzhou melalui muzik dan tarian.
Album Final Call yang diterbitkan pada September 2013 pula merupakan penghormatan Kitaro kepada alam semula jadi.
Setahun kemudian, pada September 2014, album live terbarunya Symphony Live in Istanbul dihasilkan. Ia dirakam secara langsung di Halic Congress Center di Istanbul, Turki semasa Jelajah Dunia Simfoni Kitaro.
Melalui muziknya yang menenangkan, Kitaro dibawa berkeliling dunia.
Dari 2007 hingga 2009, beliau melancarkan Love and Peace World Tour yang membawa mesej perdamaian dunia.
Kitaro menjelajah Asia Tenggara pada tahun 2007, Greece (2008) dan Hong Kong, Jepun serta Asia Tenggara (2009).
Pada 2010, Kitaro membuat persembahan di Singapura, Festival Kebudayaan Zacatecas (Mexico); pembukaan Taman Warisan Negara Istana Daming di Xi’an (China) dan Acara Seribu Drum COP10 di Aichi (Jepun).
Pada 2011, Kitaro melancarkan jelajah The Silk Road – East & West di Thailand, Hong Kong, Indonesia, Singapura dan Malaysia.
Beliau menyumbangkan sebahagian daripada jualan CD dan keuntungan konsertnya kepada Bantuan Gempa Bumi dan Tsunami Tōhoku.
Untuk tujuan yang sama, beliau mengambil bahagian dalam edisi 2011 Musicians United for Safe Energy.
Dan pada tahun 2012, beliau mengeluarkan Let Mother Earth Speak yang dihasilkan secara kolaborasi dengan aktivis Native American, Dennis Banks.
Kitaro merupakan seorang artis yang jarang mendedahkan kisah tentang keluarganya. Beliau berkahwin dengan Yuki Taoka pada 1983 dan mempunyai seorang anak lelaki.
Setelah bercerai pada 1990, beliau berpindah ke Amerika Syarikat.
Pada pertengahan 1990-an, beliau berkahwin dengan Keiko Matsubara, seorang pemuzik yang bermain dalam beberapa albumnya.
Bersama-sama anak lelaki Keiko, pasangan ini tinggal di Ward, Colorado, di sebuah kawasan seluas 180 ekar dan menyusun muzik di studio rumah agamnya.
Sekitar tahun 2005, mereka berpindah ke Sebastopol, California.
Kitaro kemudian bercerai dengan Keiko.
Pada 24 Februari 2022, beliau berkahwin dengan artis kelahiran Brazil, Franci Shimomaebara dalam satu majlis tertutup yang dihadiri oleh rakan-rakan dan saudara mara.
Fanci sebelum itu merupakan rakan yang bekerjasama dengan Kitaro untuk album The Wind, Sacred Journey of Ku-Kai, Volume 1 dan Symphony of My Dreams.
Inspirasi Kitaro datang daripada gabungan kepercayaannya yang mendalam, pengalaman hidupnya yang kaya, serta dedikasinya terhadap penggunaan teknologi dan kolaborasi untuk mencipta muzik yang tidak hanya indah tetapi bermakna secara mendalam.
Ia adalah terjemahan daripada pengalaman hidupnya dan bagaimana dia membesar di persekitaran yang menenangkan.
Akui Kitaro di Kuching, muzik, merupakan kaedah beliau menyalurkan tenaga kerohanian kepada khalayak yang mendengar.
“Hidup bersama alam semula jadi, di mana kita akan mendengar bunyi dan muzik, alunan kicauan burung-burung, hembusan angin, yang datang dari muzik saya, kerana itu adalah elemen terpenting dalam karya saya.
Saya mahu mengadunkannya dengan muzik.
Kitaro telah mencapai kejayaan yang besar dalam kerjayanya sebagai seorang komposer dan pemuzik, dengan penjualan album yang sangat mengagumkan serta jumlah peminat yang luas di seluruh dunia.
Beliau menerima 16 pencalonan Grammy dalam kategori Best New Age Album sepanjang kerjayanya, yang merupakan rekod untuk kategori tersebut.
Kitaro mempunyai pangkalan peminat yang besar di Asia, terutama di Jepun dan China.
Kerana itu pemilihan beliau sebagai penyeri Rainforest World Music Festival 2024 adalah tepat.
Kerana beliaulah, tiket festival pada malam itu cukup laris, yang dapat dilihat menerusi lautan manusia.
Dan kerana beliau jugalah, sambutan untuk festival kali ini cukup luar biasa, dan penonton menyaksikan persembahannya tanpa perlu terkinja-kinja.
• Rudi Affendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan tv dan kandungan media Sarawak.





