ARTIKEL

TERIMA KASIH… Yakub menerima cenderamata daripada Pustaka Negeri Sarawak dalam program tersebut.

Generasi muda perlu dilengkapi ilmu dan kemahiran, kata Yakub

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MUKAH: Generasi muda sebagai pewaris masa depan perlu dilengkapi dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan keyakinan diri, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi.

Menurutnya, langkah itu penting bagi melahirkan modal insan yang mampu memacu pembangunan negeri serta berdaya saing dalam mendepani cabaran dunia yang semakin pesat berubah.

Yakub (kanan) semasa sesi soal jawab Program Karnival Sarawakku Membaca Siri 8 ADUN N58 Balingian, hari ini.

“Usaha membentuk generasi berilmu bukan hanya menjadi tanggungjawab institusi pendidikan semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan padu daripada ibu bapa, komuniti dan pelbagai pihak berkepentingan.

“Oleh itu, galakan untuk membaca, meneroka perkara baharu serta mempelajari pelbagai kemahiran sejak usia muda perlu diterapkan.

“Ini kerana, usaha tersebut mampu menyemai sifat ingin tahu dan meningkatkan keyakinan diri anak-anak dalam menghadapi cabaran masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Karnival Sarawakku Membaca Siri 8 ADUN N58 Balingian di Dewan Serbaguna Kampung Teh, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata pembangunan sesebuah kawasan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada aspek fizikal.

Jelasnya, pembangunan perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan memberi penekanan kepada pembangunan modal insan serta keupayaan masyarakat untuk terus menimba ilmu dan meningkatkan kemahiran.

“Budaya pembelajaran sepanjang hayat perlu terus diperkasakan kerana proses pembelajaran tidak terhad kepada alam persekolahan, sebaliknya berlangsung sepanjang kehidupan melalui pembacaan, pengalaman, perkongsian ilmu dan penglibatan dalam aktiviti kemasyarakatan,” jelasnya.

Menyentuh mengenai program tersebut, beliau berkata Karnival Sarawakku Membaca menyediakan ruang kepada masyarakat untuk mendekati ilmu dalam suasana yang lebih santai dan terbuka.

Katanya, program itu secara tidak langsung menyemai budaya membaca dalam kalangan kanak-kanak, belia dan institusi keluarga.

“Apabila sesebuah masyarakat menghargai ilmu dan pembelajaran, ia akan mewujudkan persekitaran yang lebih positif untuk perkembangan generasi akan datang.

“Oleh itu, program seperti ini perlu terus disokong kerana ia membuka ruang kepada masyarakat untuk bersama-sama belajar dan berkembang,” tambahnya.

Dalam pada itu, Yakub turut menghargai usaha Pustaka Negeri Sarawak membawa program berteraskan ilmu lebih dekat kepada masyarakat di kawasan DUN Balingian.

Tambahnya, usaha itu memberi peluang kepada penduduk untuk menyertai pelbagai aktiviti berasaskan kreativiti, pengetahuan dan pembangunan kemahiran.

BERITA LAIN

Satu Gol Ranap Impian KCFC

KUCHING: Hanya satu gol memisahkan Kuching City FC daripada memburu kemenangan pertama dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 apabila skuad The Cats terpaksa berputih

BERITA TERBARU

Satu Gol Ranap Impian KCFC

KUCHING: Hanya satu gol memisahkan Kuching City FC daripada memburu kemenangan pertama dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 apabila skuad The Cats terpaksa berputih