KUCHING: Generasi muda perlu dilengkapkan dengan pengetahuan mendalam mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi memastikan hak Sarawak dan pendapatan tinggi terus dipertahankan melepasi tahun 2030.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, pemahaman MA63 adalah penting kerana perjanjian itu telah membolehkan Sarawak mengembalikan dan memperkukuh haknya, sekali gus memberi sumbangan besar kepada hasil negeri.

“Di bawah kepimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kita telah meminda Perlembagaan Persekutuan untuk memasukkan MA63 sebagai sebahagian daripadanya yang mengiktiraf Sarawak sebagai wilayah dan entiti pengasas pembentukan Malaysia.
“Pencapaian ini penting kerana membolehkan Sarawak mengenakan cukai jualan lima peratus ke atas barangan petroleum yang dieksport, sekali gus menjana pendapatan tambahan RM3 hingga RM4 bilion setahun yang melonjakkannya kepada RM14.2 bilion tahun lalu.
“Kejayaan ini hanya dapat diteruskan dan dikekalkan jika kita dapat melahirkan dan menyokong anak-anak yang akan mendukung segala perjuangan Kerajaan Sarawak melepasi 2030,” katanya ketika berucap dalam Majlis Anugerah Pelajar Melayu Islam Cemerlang, di Hotel Merdeka Palace, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan dana sebanyak RM10,000 kepada Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) sebagai sokongan kepada usaha mereka.
Sementara itu, Yang Dipertua PKMS, Dr Wan Ali Tuanku Madhi berkata, penganugerahan insentif kepada pelajar Melayu Islam cemerlang merupakan dorongan agar mereka terus berusaha meningkatkan pencapaian pendidikan.
“Anak-anak kita perlu bersedia dengan ilmu pengetahuan, kemahiran insaniah dan berpegang teguh pada agama agar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan serta pendidikan yang mantap,” jelasnya.
Beliau menambah bahawa seramai 159 pelajar menerima Anugerah Pelajar Melayu Islam Cemerlang dengan 68 penerima adalah calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan tiga orang mendapat 9A+, diikuti 83 bagi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
“Selain itu, anugerah turut diberikan kepada dua orang bagi Ijazah Sarjana Kelas Pertama, empat bagi Program Ijazah Pertama di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) tempatan dan luar negara, serta dua penerima sarjana.
“Setiap penerima menerima insentif mengikut pencapaian iaitu, RM1,000 untuk SPM 9A+, RM500 bagi SPM semua gred mata pelajaran, RM700 bagi STPM, RM1,000 bagi Program Ijazah Pertama, manakala penerima Ijazah Sarjana Kelas Pertama dan Sarjana masing-masing menerima RM2,000,” tambahnya.



