ARTIKEL

Azizul menyampaikan ucapan pada Majlis Apresiasi Tabika KEMAS Santubong.

Geran khas tahunan RM5,000 bagi setiap institusi pendidikan awal kanak-kanak di Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan Sarawak komited dalam usaha memperkasa pendidikan awal kanak-kanak dengan memperuntukkan geran khas tahunan sebanyak RM5,000 kepada setiap institusi pendidikan awal di wilayah ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan, berkata peruntukan ini bukan sahaja diberikan kepada institusi di bawah Kerajaan Negeri dan swasta, tetapi juga kepada tabika dan taska di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

“Antara komponen yang boleh dibelanjakan adalah perbelanjaan ‘fun-learning’ dan pendigitalan, program makanan sihat dan seimbang serta majlis atau program yang melibatkan ibu bapa,” katanya.

Azizul (jubah biru) menyerahkan sijil kepada seorang kanak-kanak pada Majlis Apresiasi Tabika KEMAS Santubong.

Azizul, yang mewakili Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Hipni, berkata demikian pada Majlis Apresiasi Tabika KEMAS Santubong di Pusat Konvensyen Penview Demak Laut di sini, hari ini.

Jelasnya, majlis ini menghimpunkan seramai 605 kanak-kanak berusia enam tahun daripada 66 kelas Tabika KEMAS yang beroperasi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu, DUN Pantai Damai dan DUN Demak Laut.

Ia turut dihadiri oleh ibu bapa, penjaga dan guru-guru KEMAS bagi meraikan kejayaan anak-anak dalam menamatkan fasa awal pendidikan mereka.

Dalam pada itu, Azizul turut menekankan bahawa peranan guru sebagai pendidik utama di sekolah adalah penting, selain tanggungjawab ibu bapa dalam mendidik anak-anak di rumah, dari segi akademik dan akhlak yang turut menjadi faktor penentu kejayaan.

“Setelah menerima pembelajaran di tabika, pengukuhan di rumah adalah penting dan ibu bapa perlu menerapkan ilmu yang telah dipelajari ke dalam kehidupan seharian anak-anak.

“Saya yakin dengan adanya kerjasama erat antara guru dengan ibu bapa, lebih ramai anak akan lebih cemerlang dalam akademik mahupun kemahiran sosial yang diperlukan masa kini,” jelasnya.

Sehubungan itu, Azizul turut memberikan penghormatan kepada pengorbanan guru-guru tabika dalam mendidik generasi muda walaupun menghadapi cabaran.

“Tanpa guru yang berpenat lelah mendidik dan menghadapi kerenah mereka setiap hari, mungkin mereka belum dapat mengenal huruf, apatah lagi membaca, mengira dan menulis,” katanya.

Tambah Azizul, beliau berharap agar semangat perpaduan dan kesatuan hati dapat terus mewujudkan persekitaran yang harmoni demi anak-anak yang merupakan pewaris masa depan negara.

Sementara itu, Tabika KEMAS Santubong telah berjaya meraih pingat perak dalam sukan ‘kid’s athletics’ pada Sambutan Hari Potensi Peringkat Kebangsaan 2024.

“Selain itu, kawasan Parlimen Santubong turut meraih gelaran juara bagi acara ‘gerak kreatif’ dalam Hari Potensi Peringkat Zon 1 yang melibatkan enam kawasan Parlimen di bawah Bahagian Kuching, iaitu Mas Gading, Petra Jaya, Stampin, Bandar Kuching dan Puncak Borneo,” jelasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU