Geran MRP, bukti kerajaan tidak abai NGO

DARO: Dana yang disalurkan kerajaan melalui geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bertujuan membantu pertubuhan melaksanakan aktiviti berfaedah untuk masyarakat setempat.

ADUN N.43 Daro, Safiee Ahmad berkata, kerajaan menyediakan MRP bagi membolehkan pertubuhan menggerakkan aktiviti, termasuk program sosial dan kemasyarakatan, bukan untuk disalahgunakan bagi tujuan tidak berfaedah.

Sumbangan itu katanya, membuktikan kerajaan sentiasa mengambil berat keperluan NGO untuk melaksanakan aktiviti mereka.

“Saya berharap mereka menggunakan sepenuhnya sumbangan untuk sesuatu yang bermanfaat,” katanya pada Majlis Penyampaian Geran MRP kepada pelbagai pertubuhan NGO di sini, semalam.

Sehubungan itu, beliau menggesa, NGO agar terus lebih proaktif menganjurkan program dengan melibatkan penyertaan segenap lapisan masyarakat.

Malah katanya, mereka perlu memperkasakan masyarakat dalam pelbagai aspek termasuk kebajikan, pendidikan, ekonomi dan sosial.

“Semoga geran ini dapat membantu penerima menjalankan aktiviti dan program termasuk majlis bersifat kebajikan bersesuaian dengan Ramadan, sambutan Aidilfitri dan Gawai Dayak tidak lama lagi.

“Saya juga mahu Ketua Masyarakat, Ketua Kaum (KMKK), JKKK dan pemimpin pertubuhan menasihati penduduk di kawasan masing-masing agar terus mematuhi PKPB dalam usaha membantu Kerajaan mengekang penularan Covid 19,” ujarnya.

Pada majlis itu sebanyak RM224 ribu diagihkan kepada 42 penerima terdiri daripada JKKK, JK Masjid, Surau dan NGO.

Hadir sama, Pegawai Daerah Daro, Bujang Rahman Seli, , Pemanca Lau Oi Phen, Penghulu Abu Bakar dan Penghulu Jebli.