KUCHING: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala, telah dilantik sebagai Pengerusi Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Mulu.
Pelantikan tersebut susulan Mesyuarat Agung Penubuhan SABERKAS Cawangan Mulu, Sabtu lalu.
Gerawat ketika ditemui berkata, penubuhan SABERKAS bagi kawasan Mulu amat ditunggu belia setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri Mulu itu berkata, penubuhan SABERKAS adalah untuk membentuk belia dan generasi muda menjadi pemimpin padamasa akan datang.
“Ia dapat mencungkil bakat anak muda sesuai dengan kelebihan mereka dan memperkasa serta mengeratkan hubungan silaturahim antara sesama belia dan muda-mudi di kawasan Mulu,” jelasnya.
Untuk rekod, SABERKAS Cawangan Mulu merupakan cawangan ke-82 SABERKAS di Sarawak.
Timbalan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Mulu, Datuk Robert Laing Anyi, Timbalan Pergerakan Wanita Parti PBB Cawangan Mulu, Datin Catherine Awing, Ketua Pemuda PBB Cawangan Mulu, Osart Bilong, Setiausaha Eksekutif SABERKAS Negeri Sarawak, Iszuan Haroni, dan ahli jawatankuasa SABERKAS, turut hadir.




