BARAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala menyatakan komitmennya untuk membantu penduduk di Kuala Tutoh memulakan penempatan baharu.
Menurutnya, penduduk di kawasan itu terjejas akibat runtuhan tebing sungai yang berada pada tahap kritikal.
“Saya telah meminta Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) melakukan kajian berkenaan keadaan tebing runtuh. Atas nasihat mereka, penduduk Kuala Tutoh harus dipindahkan ke tempat yang lebih selamat kerana kawasan sedia ada tidak lagi selamat.
“Pihak kontraktor telah melakukan kerja-kerja pembersihan tapak dan menyediakan akses jalan menuju penempatan ini. Saya akan berusaha mencari dana bagi membantu penduduk Kuala Tutoh memulakan penempatan baharu,” katanya dalam hantaran di Facebook rasmi selepas meninjau tapak cadangan penempatan baharu Kuala Tutoh di Tebuing, semalam.
Beliau sebelum itu hadir Program Pemimpin Bersama Rakyat dan Doa Kesyukuran.
Katanya, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa komited memastikan pembangunan terus sampai ke kawasan luar bandar, termasuk Kuala Tutoh dan seluruh pedalaman Baram.
“Ia termasuk pembangunan jalan raya dan infrastruktur asas untuk membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk.
“Begitu juga peningkatan jaringan komunikasi dan telekomunikasi agar masyarakat di pedalaman tidak ketinggalan dalam arus pembangunan digital,” ujarnya.
Beliau turut menyenaraikan 10 projek yang telah dilaksanakan di Kuala Tutoh, termasuk menaik taraf jalan ke cadangan penempatan baharu Kampung Kuala Tutoh di Tebuing melalui Projek Kecil Luar Bandar (MRP), Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (MRP-PPRMS), jalan perhubungan ke gereja dan Skim Bekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES) Kuala Tutoh.
Selain itu, terdapat ponton satu, dua dan tiga JKKK Kuala Tutoh, projek ternakan ayam daging, projek itik penelur melalui Pejabat Veterinar Miri, projek ternakan ikan dalam sangkar melalui Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) serta projek rumah burung walit.
Kerajaan, katanya, akan terus berusaha memastikan setiap program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik, sekali gus memberi manfaat langsung kepada penduduk Kuala Tutoh.
“Harus kita ingat, pembangunan tidak dapat dicapai tanpa kerjasama semua. Suara dan pandangan rakyat sangat penting.
“Oleh demikian, kami di peringkat kepimpinan akan terus mendengar masalah, cadangan dan keperluan rakyat,” katanya.




