KUCHING: Perkongsian idea menerusi Kongres Inovasi dan Teknologi Sedunia (WCIT) dan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2023 membantu Sarawak untuk terus maju ke hadapan.
Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, segala sumbangan serta saranan yang dilaksana mampu membina laluan kepada negeri ini untuk terus menjadi kuasa ekonomi digital di rantau ini.
“Ia sekali gus, menyokong perkembangan masyarakat yang didorong oleh inovasi dan teknologi, dengan rakyat mampu menikmati kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan persekitaran mampan.
“Di sebalik pameran teknologi ini juga, semangat kerjasama merentasi sempadan antarabangsa dapat dipupuk demi kebaikan masyarakat melalui ekonomi digital yang inklusif,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Kongres WCIT dan IDECS 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini.
Penganjuran WCIT IDECS bakal diteruskan lagi pada tahun hadapan di Armenia.
Hadir sama Speaker DUN, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar; Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi; Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Tan Sri Datuk Amar Morshidi Abdul Ghani serta tetamu kehormat yang lain.
Di samping itu, Awang Tengah turut menegaskan bahawa bakat dan kemahiran memainkan peranan penting dalam pembangunan serta kemajuan negeri ini untuk bergerak ke arah aspirasi Sarawak 2030.
“Kami percaya sepenuhnya bahawa keterangkuman merupakan prasyarat asas bagi negeri ini untuk berjaya beralih daripada ekonomi berasaskan komoditi tradisional kepada ekonomi berasaskan teknologi yang mampan.
“Sarawak bercita-cita menjadi gerbang utama bagi pemain antarabangsa, untuk memandang ke arah Asia Tenggara, dengan infrastruktur dan tenaga kerja mahir yang khusus untuk menjadi peneraju serantau dalam inovasi dan ekonomi digital yang dipacu teknologi,” jelasnya.
Beliau turut yakin laluan kolektif untuk ke hadapan dengan komuniti antarabangsa ini dapat diteruskan menerusi kerjasama yang lebih baik.
“Semua berusaha ke arah matlamat bersama kita iaitu kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar,” katanya.



